Bencana: Glasier Switzerland kehilangan satu perlima jisim dalam tempoh lima tahun

Facebook
WhatsApp
AHLI glasiologi Matthias Huss bersama pancang pengukuran sepanjang empat meter yang menunjukkan jumlah ais yang mencair sepanjang tahun lalu di Glasier Scex Rouge. Foto AFP

LES DIABLERETS, Switzerland: Glasier di Switzerland, yang terjejas teruk akibat perubahan iklim, kehilangan hampir 20 peratus jisimnya dalam tempoh lima tahun, menurut pakar, dengan 2026 mencatatkan kadar pencairan kedua tertinggi dalam rekod.

Glasier Switzerland kehilangan 5.5 peratus daripada isipadunya tahun ini, menurut rangkaian Pemantauan Glasier di Switzerland (GLAMOS) dalam kajian terbaharunya, selepas musim panas yang mencatatkan suhu tinggi luar biasa didahului musim sejuk dengan jumlah salji yang rendah.

“Glasier pada tahun ini kehilangan jumlah ais yang amat besar,” kata Ketua GLAMOS, Matthias Huss, yang menyifatkan 2026 sebagai “tahun bencana”.

Berdiri di atas Glasier Scex Rouge pada ketinggian hampir 3,000 meter, beliau memandang ke arah kawasan sekitarnya dengan penuh kecewa.

AHLI glasiologi Matthias Huss ketika meninjau perubahan pada Glasier Scex Rouge yang semakin mencair di barat Switzerland. Foto AFP

“Glasier ini tidak akan bertahan,” katanya.

“Berkemungkinan tiada lagi ais di sini dalam tempoh 10 atau 15 tahun.”

Beliau kemudian menanggalkan dengan berhati-hati pancang aluminium sepanjang empat meter yang dipasang di tengah-tengah glasier itu bagi tujuan pengukuran.

Pada akhir Julai ketika dipasang, pancang itu tertanam sepenuhnya, namun kini lebih tiga meter daripadanya terdedah di permukaan ais yang berwarna kelabu.

“Kami tidak terkejut kerana tahu betapa pantas glasier mencair,” kata Huss.

“Namun, untuk melihat warna gunung apabila salji sudah tiada, yang tinggal hanyalah batuan dan glasier gelap yang menjadi peninggalan masa lalu… perkara itu sungguh luar biasa.”

Menurut laporan GLAMOS, kadar pencairan glasier Switzerland antara 2022 dan 2026 adalah “lebih dua kali ganda berbanding mana-mana tempoh lima tahun yang dipantau sebelum ini”, dengan kehilangan hampir 20 peratus isipadu ais sejak 2021.

SISA Glasier Mauvais yang kini hanya tinggal sedikit di atas Les Diablerets, di Alps Switzerland. Foto AFP

Walaupun glasier Switzerland telah lama mengalami penyusutan, kadar pencairannya meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Laporan itu menunjukkan 10 peratus daripada isipadu ais Switzerland hilang antara 1990 dan 2000, manakala 27 peratus hilang dalam tempoh 10 tahun lalu.

GLAMOS membuat penemuan itu berdasarkan pengukuran meluas terhadap 23 glasier rujukan pada September sebelum mengunjurkan hasilnya kepada hampir 1,300 formasi glasier yang masih terdapat di Switzerland.

Tiada peluang untuk bertahan

Laporan itu dikeluarkan selepas musim panas yang menyaksikan Jun, Julai dan Ogos masing-masing mencatatkan suhu tertinggi pernah direkodkan di Switzerland sejak pengukuran bermula pada 1864, menurut Pejabat Persekutuan Meteorologi dan Klimatologi Switzerland.

Tahun ini, lapisan salji yang melindungi glasier sudah sebahagiannya hilang ketika gelombang haba pada Jun dan lenyap sepenuhnya menjelang September, termasuk di kawasan berketinggian tinggi, menurut GLAMOS.

“Glasier Alps tidak mempunyai peluang untuk bertahan dalam jangka panjang dalam keadaan sedemikian,” kata GLAMOS dalam satu kenyataan.

Akibat pencairan ketara tahun ini, penyelidik terpaksa memindahkan pancang pengukuran, termasuk di glasier pada altitud tertinggi, ke lokasi lebih tinggi selepas ais mencair di kawasan asal.

Purata ketebalan ais bagi sesetengah glasier berkurangan antara 2.5 hingga 4.0 meter, manakala bahagian hadapan glasier yang lebih terdedah mengalami kehilangan ketebalan sehingga 10 meter sepanjang musim panas.

Glasier Rhone dan Aletsch

Walaupun suhu lebih tinggi tahun ini, kehilangan ais tidak mengatasi rekod yang dicatatkan pada 2022 kerana banyak glasier menerima lebih banyak salji sebelum musim pencairan berbanding empat tahun lalu.

Jumlah debu dari Gurun Sahara yang mendap di glasier juga lebih rendah tahun ini, membolehkan lebih banyak cahaya matahari dipantulkan kembali ke atmosfera berbanding diserap oleh salji.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian.

Empat glasier utama mencatatkan pencairan pada tahap rekod tahun ini, termasuk Glasier Rhone yang terkenal dan Glasier Aletsch, iaitu glasier terbesar di Alps.

Dalam perkembangan berkaitan, kebimbangan semakin meningkat mengenai masa depan sumber bekalan air apabila glasier terus berundur.

Antara Julai dan September tahun ini, glasier kehilangan kira-kira 2.2 trilion liter air secara keseluruhan.

Huss berkata jumlah itu “sukar dibayangkan”.

“Jumlahnya lebih daripada empat kali ganda penggunaan air tawar tahunan isi rumah di Switzerland,” katanya. – AFP