MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu di persimpangan lampu isyarat Jalan Wawasan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 12.30 tengah hari.
Menurutnya, suspek ditahan ketika memandu sebuah kereta berwarna putih selepas polis menerima maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Barang salah berkenaan diserahkan sendiri oleh suspek kepada pasukan serbuan ketika pemeriksaan dijalankan,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.
Muhamad Rizal berkata, anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.48 gram.
“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama tiga hari sehingga 4 Oktober ini bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman





