KABONG: Seramai 807 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong menyertai Program Generasi Madani Karnival Kita yang dianjurkan dengan pengisian berkaitan kesiapsiagaan dan kemahiran asas kecemasan, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, program berkenaan melibatkan seramai 800 pelajar serta tujuh guru SMK Kabong.
Menurutnya, program yang berlangsung itu turut disertai lapan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) APM Daerah Saratok.
Beliau berkata, penglibatan APM dalam program berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada warga sekolah mengenai peranan APM serta pengetahuan asas yang boleh digunakan ketika berdepan situasi kecemasan.

“Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali APM dengan lebih dekat, selain mempelajari kemahiran asas pertolongan cemas,” katanya.
Program bermula apabila lapan anggota LLP APM Saratok selamat tiba di SMK Kabong pada 8.00 pagi sebelum sesi ceramah dan latihan dimulakan pada 8.30 pagi.
Antara pengisian utama ialah pengenalan kepada APM, asas pertolongan cemas, tindakan ketika berlaku kejadian tercekik atau choking serta kaedah melakukan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR).
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan asas rawatan dan teknik balutan bagi kecederaan luka serta kepatahan.

Pengisian berkenaan memberi penekanan terhadap tindakan awal yang wajar dilakukan sebelum mangsa menerima rawatan lanjut daripada pihak perubatan atau penyelamat.
Program berkenaan turut menjadi platform untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan memiliki pengetahuan asas pertolongan cemas dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Penyertaan seramai 807 warga sekolah itu memperlihatkan komitmen warga SMK Kabong dalam menyokong program pembangunan generasi yang lebih berpengetahuan, peka dan bersedia menghadapi situasi kecemasan.
Oleh Adi Safarman




