BINTULU: Buah dabai kini bukan sahaja dinikmati secara tradisional, malah diolah menjadi pelbagai produk makanan dan minuman yang memberi nilai tambah kepada pengusaha tempatan.
Perkara itu dapat dilihat menerusi pelbagai produk berasaskan dabai yang diketengahkan pada Sarawak Agrofest 2026, termasuk keropok, aiskrim, jem, sambal, linut serta minuman.
Tinjauan di beberapa tapak jualan mendapati pengusaha tidak lagi terhad kepada kaedah tradisional dalam memasarkan dabai, sebaliknya menghasilkan produk baharu yang boleh dinikmati dalam pelbagai bentuk.
Antara pengusaha yang mengetengahkan produk berasaskan dabai ialah Sarawak Fruit Enterprise menerusi pelbagai keluaran seperti keropok mentah, keropok goreng, aiskrim dan jem dabai.
Produk berkenaan turut dipasarkan menerusi gerai Dapor Dabey serta ruang jualan Peladang eShop di Agrofest 2026.

Peniaga Dapor Dabey dari Sibu, Mohd Hakimie, 25, berkata sambutan terhadap produk berasaskan dabai yang ditawarkan di gerainya menggalakkan, khususnya daripada pengunjung yang ingin mencuba olahan baharu.
“Setakat ini sambutan okey. Ada yang memang mahu mencuba, terutama apabila melihat pelbagai jenis makanan dan minuman yang dihasilkan menggunakan dabai,” katanya.
Menurutnya, permintaan terhadap produk dabai juga tinggi di Sibu, khususnya produk kering seperti keropok dabai.
“Di Sibu memang banyak permintaan daripada orang ramai untuk produk dabai ini. Keropok dabai juga antara produk yang mendapat permintaan,” katanya.
Selain itu, Dapor Dabey turut mengetengahkan hidangan dan minuman berasaskan dabai seperti susu dabai kocak dan nasi goreng dabai kepada pengunjung Agrofest 2026.

Sementara itu, Sinang Produk dari Miri memperkenalkan sambal dabai menerusi ruang jualan Peladang eShop pada Agrofest 2026.
Fazalin, 33, yang bertugas mempromosikan produk Sinang, berkata sambal dabai berkenaan mendapat sambutan pengunjung kerana rasanya tidak pedas dan sesuai dinikmati seisi keluarga.
“Ramai yang membeli sambal dabai asli kerana ia tidak pedas. Jadi, kanak-kanak pun boleh merasa sambal ini,” katanya.
Beliau berkata sambal berkenaan merupakan produk baharu yang diperkenalkan tahun ini dan masih dalam proses diperkenalkan kepada lebih ramai pengguna.
“Sambal dabai ini baru diperkenalkan tahun ini, jadi buat masa ini masih belum terdapat di semua pasar raya. Kami masih dalam proses memperkenalkannya kepada lebih ramai pengguna,” katanya.



ANTARA produk berasaskan dabai yang diketengahkan pada Agrofest 2026.
Dalam pada itu, jenama Laris turut mengetengahkan produk berasaskan dabai menerusi linut dabai di ruang pameran jualan Agrotrade pada Agrofest 2026.
Wakil yang bertugas di ruang pameran berkenaan, Puan Hartini, 55, berkata produk itu mendapat sambutan baik sejak diperkenalkan dan turut menarik perhatian pengunjung sepanjang Agrofest 2026.
“Penerimaan memang sangat baik. Sejak mula diperkenalkan, produk ini mendapat sambutan yang baik,” katanya.
Menurutnya, produk berkenaan turut dipromosikan menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) baru-baru ini, sekali gus membuka peluang untuk produk berasaskan dabai diperkenalkan kepada lebih ramai pengguna di luar Sarawak.
Kepelbagaian produk berasaskan dabai yang diketengahkan pada Agrofest 2026 menunjukkan buah tempatan itu mempunyai potensi untuk dikembangkan kepada produk makanan dan minuman bernilai tambah.
Usaha berkenaan bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah membuka ruang kepada pengusaha untuk mengembangkan pasaran dan memperkenalkan dabai dalam bentuk yang lebih pelbagai.
Oleh Faizah Muzidi




