KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengesan beberapa kesalahan lalu lintas termasuk penggunaan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan kenderaan diletakkan sehingga menghalang pergerakan trafik menerusi Ops Patuh, semalam.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak yang dimuat naik di laman rasmi Facebook jabatan itu, operasi menerusi Unit FALCON dilaksanakan secara rondaan dan pemantauan di Jalan Kuching-Serian, Jalan Bukit Mata (UTC) dan Jalan Hospital.

Selain menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar, pemeriksaan turut mengesan kenderaan yang diletakkan di garisan kuning serta sehingga menghalang lalu lintas.
Kesemua kesalahan yang dikesan telah diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

JPJ Sarawak memandang serius kesalahan berkenaan kerana penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh menjejaskan tumpuan, manakala kegagalan memakai tali pinggang keledar meningkatkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
Tindakan meletakkan kenderaan di lokasi tidak dibenarkan atau sehingga menghalang lalu lintas pula boleh menyebabkan kesesakan dan mengganggu pergerakan pengguna jalan raya lain.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan, memberikan tumpuan sepenuhnya ketika memandu, memakai tali pinggang keledar serta meletakkan kenderaan hanya di lokasi yang dibenarkan
JPJ Sarawak akan terus mempergiatkan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
Oleh Afiq Sallehi





