Sarawak Women@Work perkasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja – Rosey

Facebook
WhatsApp
Datuk Rosey Yunus ketika berucap di Majlis Penangguhan Sarawak Women@Work Bahagian Miri, hari ini.

MIRI: Inisiatif Sarawak Women@Work terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja serta memperluas akses kepada peluang ekonomi yang inklusif.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Sarawak pada 2024 ialah 52.7 peratus berbanding 85.4 peratus bagi lelaki.

“Keadaan itu menunjukkan masih terdapat ruang yang besar untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan dan ekonomi.

“Wanita turut membentuk antara 50 hingga 60 peratus daripada pelajar di institusi pengajian tinggi, sekali gus menunjukkan potensi besar golongan itu untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Sarawak Women@Work Bahagian Miri di sini, hari ini.

Menurutnya, inisiatif berkenaan menyediakan laluan kepada wanita yang ingin kembali bekerja, selain meningkatkan kemahiran dan memperkasa mereka dalam bidang keusahawanan.

TERIMA KASIH… Datuk Rosey Yunus menerima cenderahati daripada pihak SEDC Sarawak Majlis Penangguhan Sarawak Women@Work Bahagian Miri, hari ini.

“Pendekatan tersebut dilihat penting bagi memastikan perjalanan wanita dapat disokong secara menyeluruh, bermula daripada pendidikan kepada pekerjaan, peningkatan kemahiran, keusahawanan serta sokongan berterusan bagi membolehkan mereka kekal dan berkembang dalam dunia pekerjaan.

“Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi untuk memastikan potensi wanita dapat diterjemahkan kepada penyertaan lebih tinggi dalam tenaga kerja dan aktiviti ekonomi Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 15 Ketua Isi Rumah Wanita (KIRWaS) menerima bantuan masing-masing RM1,000 menerusi usaha memperkasa wanita dan membantu keluarga yang memerlukan sokongan secara langsung.

Rosey berkata, sehingga kini, jumlah penerima bantuan KIRWaS telah mencapai 2,274 orang.

“Bantuan tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan kepada penerima, malah menjadi simbol sokongan kerajaan terhadap wanita yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan dan menjaga keluarga,” katanya.

Oleh Adum Liu