PETRA JAYA: Stadium Taha Ariffin menerima kelulusan bersyarat selepas menjalani pemeriksaan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 23 September lalu.
Pengerusi Kuching City FC (KCFC), Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, beberapa penambahbaikan masih sedang dilaksanakan sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada AFC.
“Alhamdulillah Stadium Taha Ariffin telah menerima kelulusan bersyarat selepas pemeriksaan oleh AFC bersama AFF dan FAM pada 23 September lalu.
“Sekarang, kita sedang memastikan beberapa penambahbaikan yang diperlukan dapat diselesaikan sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada AFC,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, pemasangan kerusi penonton turut meningkatkan kapasiti stadium kepada 17,584 tempat duduk, sekali gus menyediakan kemudahan lebih baik untuk penyokong.

Bagaimanapun, katanya, persediaan KCFC bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal stadium, sebaliknya turut merangkumi keseluruhan pengalaman penyokong pada hari perlawanan.
“Bila Kuching City FC dah melangkah ke tahap lebih tinggi, keseluruhan pengalaman pada hari perlawanan, daripada tiket, kemasukan penonton, pemeriksaan keselamatan sampailah aliran pergerakan penyokong perlu sama-sama kita tambah baik,” katanya.
Beliau berkata, perlawanan persahabatan menentang Sabah FC esok akan menjadi medan ujian bagi sistem dan prosedur baharu yang diperkenalkan.
Ia sebagai persediaan sebelum Stadium Taha Ariffin menerima kunjungan Tampines Rovers FC pada 7 Oktober bagi Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026-2027.
Seterusnya, KCFC bakal berdepan Kitchee SC pada 15 Oktober dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Fazzrudin mengakui beberapa perubahan mungkin memerlukan penyokong untuk menyesuaikan diri, khususnya berkaitan prosedur kemasukan dan keselamatan.
Justeru, beliau meminta penyokong hadir lebih awal, mematuhi arahan petugas serta memberikan kerjasama bagi memastikan perjalanan hari perlawanan berlangsung lancar dan selamat.
“Kita mahu bukan pasukan sahaja yang bersedia untuk pentas Asia dan ASEAN. Stadium, pengurusan dan penyokong kita juga mesti sama-sama bersedia.
“Insya-Allah, kita sama-sama jadikan Stadium Taha Ariffin sebagai rumah yang membanggakan untuk Kuching City FC dan bola sepak Sarawak,” katanya.
Oleh Adi Safarman





