Pertandingan Badminton Individu Limbang tarik 144 penyertaan

Facebook
WhatsApp
SAMBUTAN HANGAT...Jawatankuasa penganjur dan para pemenang bergambar bersama pada pertandingan itu.

LIMBANG: Pertandingan Badminton Individu Daerah Limbang 2026 anjuran Persatuan Badminton Bahagian Limbang (PBBL) berjaya menarik sebanyak 144 penyertaan sepanjang dua hari penganjurannya di Dewan Polis, Limbang, baru-baru ini.

PBBL dalam satu kenyataan hari ini berkata sebanyak  enam kategori dipertandingkan melibatkan Perseorangan Lelaki Terbuka, Beregu Lelaki Terbuka, Perseorangan Lelaki Junior, Beregu Lelaki Junior, Beregu Wanita dan Beregu Campuran Junior. 

“Penyertaan itu melibatkan 42 pemain perseorangan dan 102 pemain beregu, sekali gus menunjukkan sambutan yang menggalakkan terhadap pertandingan ini setiap tahun.”

“Kejohanan ini dimasukkan dalam kalendar aktiviti tahunan PBBL. Selain daripada aktiviti ini PBBL juga merancang akan mengadakan pertandingan badminton individu terbuka melibatkan pemain dari Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam,” katanya.

Kejohanan ini jelasnya untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan badminton, menjadikan sukan sebagai budaya hidup sihat, mengeratkan silaturahim dan perpaduan melalui sukan.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden PBBL Zaini  Garib.

Turut hadir Setiausaha PBBL Arni  Kassim.