JUDIGITAL raih pingat perak, percepat penghakiman pertandingan

Facebook
WhatsApp
JUDIGITAL yang dibangunkan Lydia Desmond direka bagi mempercepatkan proses pengiraan markah dan pengumuman keputusan pertandingan. Foto Lydia Desmond

KUCHING: Inovasi sistem penghakiman digital JUDIGITAL mencipta kejayaan apabila meraih Pingat Perak dalam Festival Inovasi Borneo 2026, sekali gus membuktikan potensi teknologi digital dalam memperkemas pengurusan pertandingan.

Dibangunkan oleh Lydia Desmond, JUDIGITAL direka bagi membantu penganjur mempercepatkan proses pengiraan markah dan pengumuman keputusan secara lebih sistematik, tepat serta efisien.

LYDIA Desmond bersama Pingat Perak yang diraih menerusi inovasi sistem penghakiman digital JUDIGITAL pada Festival Inovasi Borneo 2026. Foto Lydia Desmond

Menurut Lydia, inovasi itu dibangunkan bagi menangani kelewatan serta risiko kesilapan yang boleh berlaku menerusi kaedah pengiraan markah secara manual.

“Tiada lagi pengiraan manual. Biarkan JUDIGITAL menjalankan tugasnya untuk membantu penganjur mempercepatkan proses penghakiman dan keputusan pertandingan,” katanya ketika dihubungi.

Keberkesanan sistem tersebut telah diuji menerusi penggunaannya dalam tiga acara iaitu ‘Trashion Couture: From Trash To Trend 2025’, Tari Cilik 2025 dan Pertandingan Baju Tradisional 2026.

Penggunaan JUDIGITAL turut memudahkan tugas pengadil dan penganjur, khususnya dalam mengurus serta merekod markah pertandingan.

KEJAYAAN JUDIGITAL meraih Pingat Perak pada Festival Inovasi Borneo 2026 membuktikan potensi teknologi digital dalam memperkemas proses penghakiman pertandingan. Foto Lydia Desmond

Sistem berkenaan menawarkan proses penghakiman yang lebih tersusun, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengiraan manual.

Pada masa yang sama, JUDIGITAL berpotensi diperluaskan untuk digunakan dalam pelbagai jenis pertandingan yang memerlukan sistem penilaian pantas dan sistematik.

Pihak yang berminat mendapatkan maklumat lanjut atau menggunakan JUDIGITAL sebagai platform pengurusan penghakiman pertandingan boleh menghubungi Lydia Desmond.

Oleh Adi Safarman