25 pekebun kecil nipah Kabong terima insentif peralatan

Facebook
WhatsApp
CHEE Kadir menyerahkan insentif bantuan peralatan kepada pekebun kecil nipah pada majlis di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong, hari ini. Foto ADUN Kabong

KABONG: Seramai 25 pekebun kecil nipah dari Kabong menerima insentif bantuan peralatan menerusi Program Pembangunan Pekebun Kecil Nipah bagi Melestarikan Bekalan Nira di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, bantuan itu merupakan antara usaha memperkukuh industri nipah secara mampan selain membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran nira dalam kalangan pekebun kecil.

Menurut beliau, program berkenaan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) bagi menyokong pembangunan industri nipah serta meningkatkan kesejahteraan komuniti pekebun kecil.

Antara peralatan yang disalurkan ialah pisau penyadap, parang tebas, gelen penyimpanan nira jenis gred makanan, kasut but getah dan kereta sorong.

Katanya, bantuan tersebut dapat membantu pekebun kecil menjalankan aktiviti pengeluaran nira dengan lebih selamat, teratur dan berkesan.

“Pemberian insentif ini juga menperlihatkan usaha berterusan untuk memperkenalkan penggunaan peralatan serta amalan agronomi pertanian yang lebih baik dalam kalangan pekebun kecil nipah,” katanya.

DATO Mohd Chee Kadir bersama pekebun kecil nipah yang menerima insentif bantuan peralatan menerusi Program Pembangunan Pekebun Kecil Nipah di Kabong, hari ini. Foto ADUN Kabong

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ringkas pemberian insentif berkenaan di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong, hari ini.

Chee Kadir berkata, penggunaan peralatan yang bersesuaian berpotensi meningkatkan produktiviti pengeluaran nira, sekali gus membantu memperkukuh hasil pendapatan pekebun kecil dan keluarga mereka.

Menurutnya, industri nipah mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan sebagai sektor ekonomi berasaskan sumber tempatan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Sehubungan itu, beliau berharap semua penerima memanfaatkan bantuan yang diterima sebaik mungkin bagi meningkatkan kecekapan aktiviti harian serta memastikan pengeluaran nira dapat dilaksanakan secara berterusan dan mampan.

“Kerjasama erat antara agensi berkaitan dan komuniti pekebun kecil amat penting bagi memastikan pembangunan industri nipah terus diperkasa serta memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Pemberian insentif itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri nipah yang lebih berdaya saing, mampan dan inklusif, sekali gus memberi nilai tambah kepada ekonomi komuniti pekebun kecil di Kabong dan Sarawak.

Oleh Adi Safarman