SERIAN: Sebanyak 1,185 ekor anak ikan baong dilepaskan ke Sungai Ahi menerusi Program Pelepasan Anak Benih Ikan anjuran Seksyen Perikanan Darat, Jabatan Pertanian Bahagian Serian.
Anak ikan berukuran kira-kira tiga inci itu dilepaskan di kawasan Projek Sistem Tagang, Kampung Bunan Gega, Tebedu sebagai usaha meningkatkan populasi ikan di perairan umum.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif untuk memulihara biodiversiti dan ekosistem sungai melalui peningkatan populasi spesies ikan asli serta pengurusan sumber perikanan secara mampan.
Pelepasan anak ikan itu turut bertujuan memastikan sumber perikanan sungai terus terpelihara dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Pada masa sama, usaha berkenaan berpotensi menyokong pembangunan aktiviti perikanan rekreasi serta mewujudkan produk pelancongan berasaskan sungai.
Inisiatif itu sekali gus mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi pengurusan sumber sungai secara lestari, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Tagang.
Hadir sama ialah Ketua Kampung Bunan Gega Pascal Sali, ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bunan Gega serta ahli jawatankuasa Projek Sistem Tagang.





