25 pegawai, anggota BBP Lutong jalani ujian saringan air kencing

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH... Mazlan Jikran menerima cenderamata daripada Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II) Henry Jugah pada program ujian saringan air kencing dalam pemeriksaan pematuhan Standard Tempat Bertugas (STB), hari ini.

MIRI: Seramai 25 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong menjalani ujian saringan air kencing dalam pemeriksaan pematuhan Standard Tempat Bertugas (STB), hari ini.

Ujian yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 10.00 pagi itu dikendalikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri di BBP Lutong.

Pemeriksaan diketuai Ketua Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Daerah Miri, Mazlan Jikran bersama Kennedy Lai, Nurdiana Melissa Abdullah dan Awgku Mahyudfin Awg Omar.

Kesemua 25 pegawai dan anggota yang terdiri daripada ketua balai, penyelia serta anggota Pasukan Alpha, Bravo dan Charlie menjalani ujian tersebut.

Hasil saringan mendapati kesemua mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan berkenaan merupakan sebahagian usaha memastikan tahap integriti, disiplin dan kesiapsiagaan warga JBPM sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan.

Oleh Adum Liu