Pesuruhjaya Polis Sarawak gesa warga PDRM kekal profesional, responsif

Facebook
WhatsApp
CP Datuk Mohamad Zainal menggesa warga PDRM supaya terus mengekalkan profesionalisme, meningkatkan kompetensi dan sentiasa responsif dalam melaksanakan tugas.

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah menggesa seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya terus mengekalkan profesionalisme, meningkatkan kompetensi dan sentiasa responsif dalam melaksanakan tanggungjawab.

Dalam amanatnya menjelang penyerahan tugas pada esok (1 Oktober), Mohamad Zainal berkata, warga PDRM perlu menghargai setiap pengalaman yang diperoleh sepanjang perkhidmatan, menggunakan masa dengan sebaik-baiknya serta melaksanakan tugas dengan penuh amanah.

Beliau berkata, sikap responsif juga perlu diberi perhatian, termasuk dalam aspek komunikasi dan memberikan maklum balas meskipun berdepan kesibukan tugas.

“Sikap untuk memberikan respons perlu dipertingkatkan, sama ada kepada pihak atasan, bawahan, rakan sekerja, orang awam mahupun rakan-rakan yang telah bersara,” katanya.

Mohamad Zainal turut mengakui masih belum berkesempatan mengunjungi 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sarawak sebelum bertukar.

Menurutnya, Kuching merupakan antara tonggak utama kejayaan Kontinjen Sarawak memandangkan kedudukannya sebagai ibu negeri, selain kawasan pentadbiran IPD Kuching yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, banyak balai polis serta berdepan pelbagai cabaran jenayah.

CP Datuk Mohamad Zainal menekankan kepentingan profesionalisme, kompetensi dan sikap responsif dalam kalangan warga PDRM.

Beliau turut membuat perbandingan dengan IPD Dang Wangi yang terletak di kawasan pusat bandar serta dikelilingi bangunan pejabat dan pelbagai agensi kerajaan.

Khusus kepada Pegawai Penyiasat Kanan (SIO), Penolong Pegawai Penyiasat (AIO) dan Pegawai Penyiasat (IO), beliau menyeru mereka supaya terus meningkatkan kompetensi dan pengalaman dengan mengambil peluang membuka serta mengendalikan lebih banyak kes.

Katanya, pegawai perlu menunjukkan kebolehan, sentiasa hadir dan komited dalam menjalankan tugas, selain menghindari sikap cuba mengelak tanggungjawab atau menjadikan cuti sebagai alasan untuk tidak melaksanakan tugas.

Mohamad Zainal turut menggesa warga PDRM supaya berkongsi perkara positif, saling membantu serta mengelakkan sikap iri hati sesama anggota.

“Setiap warga hendaklah saling membantu dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Oleh Connie Chieng