ASAJAYA: Kelayakan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan golongan muda dalam menghadapi persaingan pekerjaan yang semakin mencabar, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, peningkatan jumlah graduan yang dilahirkan institusi pengajian tinggi setiap tahun turut menyebabkan persaingan mendapatkan pekerjaan semakin sengit.
Sehubungan itu, katanya, golongan muda perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan keterampilan, selain membina jaringan hubungan serta aktif dalam kegiatan kokurikulum, sukan dan kemasyarakatan.

“Menamatkan pengajian di universiti tidak bermakna seseorang itu pasti akan berjaya. Jalan menuju kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Selain kelayakan akademik, bagaimana kita membawa diri, membina jaringan hubungan serta melibatkan diri dalam masyarakat juga penting untuk membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Program Skor A 2025 di sini.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata pencapaian SMK Asajaya yang berjaya menghantar 128 pelajar ke universiti awam tahun ini amat membanggakan, lebih-lebih lagi apabila sekolah berkenaan masih berdepan kekurangan dari segi prasarana.
Katanya, lebih 100 pelajar sekolah berkenaan berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dalam kalangan pelajar, guru, pentadbir, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa.
Menurutnya, kekurangan kemudahan bukan penghalang kepada kecemerlangan sekiranya semua pihak memainkan peranan dalam menyokong usaha pendidikan.

Pada masa sama, beliau berharap SMK Asajaya yang dibina sejak awal 1970-an dapat diberi perhatian untuk dinaik taraf, khususnya dari segi bilik darjah dan kemudahan dewan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Abdul Karim turut mengingatkan pelajar yang bakal melangkah ke menara gading supaya tidak melupakan asal usul, keluarga dan masyarakat apabila berjaya kelak.

Katanya, ilmu dan pengalaman yang diperoleh perlu dikongsi serta dimanfaatkan untuk membantu masyarakat, selain menyumbang kepada pembangunan Asajaya, Sarawak dan negara.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menganggap anak mereka gagal sekiranya tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti kerana kejayaan seseorang tidak ditentukan melalui sijil semata-mata.
Oleh Norman B





