KUCHING: Usaha mencegah rasuah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) perlu dilaksanakan tanpa merumitkan proses kerja atau melambatkan keputusan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sistem kerja yang baik perlu mempunyai kawalan yang kukuh, namun pada masa sama kekal mudah, cekap dan responsif.
“Integriti tidak seharusnya menjadi alasan kepada birokrasi yang tidak perlu atau proses membuat keputusan yang lebih lambat.
“Sistem yang baik mesti mempunyai kawalan yang kukuh, tetapi pada masa yang sama mudah, cekap dan responsif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) MINTRED 2030 sempena Hari Integriti dan Inovasi MINTRED 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, MINTRED perlu memanfaatkan teknologi, pendigitalan dan penambahbaikan proses kerja bagi meningkatkan ketelusan, mengurangkan risiko serta mempercepat penyampaian perkhidmatan.
“Proses kerja sedia ada juga perlu dinilai secara berterusan bagi mengenal pasti ruang yang boleh dipermudahkan tanpa menjejaskan tadbir urus.
“Jika sesuatu proses boleh dipermudahkan tanpa menjejaskan tadbir urus, kita harus permudahkan. Jika teknologi boleh meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko, kita harus gunakannya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata OACS MINTRED 2030 turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti risiko lebih awal, memperkukuh kawalan serta menambah baik proses dan tatacara kerja kementerian.
“Ujian sebenar OACS bukan dokumen itu sendiri. Ujian sebenar ialah pelaksanaannya.
“Pelaksanaan strategi itu perlu menghasilkan perubahan yang jelas, termasuk proses yang lebih mudah, ketelusan lebih tinggi, penyampaian lebih pantas dan akauntabiliti lebih kukuh,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata MINTRED menguruskan tanggungjawab berkaitan pelaburan, pembangunan kawasan perindustrian, bantuan, kelulusan serta urusan dengan pelabur dan komuniti perniagaan.
“Sarawak merekodkan lebih RM116 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Pada 2025 pula, sebanyak RM16.3 bilion pelaburan diluluskan membabitkan 313 projek dengan potensi mewujudkan lebih 6,500 peluang pekerjaan.
“Nilai pelaburan, projek dan peruntukan yang semakin besar turut meningkatkan tanggungjawab MINTRED untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara profesional, telus dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah




