ASAJAYA: Seramai 128 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam tahun ini, sekali gus menjadi pencapaian yang membanggakan masyarakat setempat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan pelajar di kawasan berkenaan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, jumlah pelajar dari sekolah berkenaan yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam juga secara konsisten melebihi 100 pelajar pada tahun-tahun sebelumnya.
“Ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa pengurusan sekolah tersebut boleh dianggap diatur dan dijaga dengan baik oleh pentadbir sekolah, termasuk pengetua.
“Inilah yang memberi saya satu kebanggaan sebagai wakil rakyat yang menjaga kawasan ini apabila melihat ramai yang dapat masuk ke universiti awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran Pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Program Skor A 2025 di Pejabat Daerah Asajaya, hari ini.
Karim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, berkata insentif turut diberikan setiap tahun sebagai penghargaan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian, selain membantu meringankan beban awal mereka dan keluarga.
Jelasnya, pelajar yang bakal memasuki universiti memerlukan perbelanjaan awal, termasuk untuk membeli pakaian dan keperluan pengajian, meskipun terdapat bantuan daripada beberapa pihak seperti Baitulmal dan yayasan.
“Insentif ini sebagai penghargaan kerana kita tahu mereka yang masuk ke universiti memerlukan bantuan pada peringkat awal untuk membeli pakaian dan bekalan, sekali gus meringankan beban ibu bapa serta pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Karim menyambut baik sekiranya terdapat usaha untuk menubuhkan alumni yang menghimpunkan bekas pelajar SMK Asajaya, termasuk mereka yang sudah menamatkan pengajian di universiti.
Katanya, usaha sedemikian boleh diberikan sokongan, termasuk dari segi dana, sekiranya terdapat inisiatif daripada warga sekolah dan masyarakat setempat untuk merealisasikannya.
Beliau menganggarkan jumlah graduan dari kawasan Asajaya kini sudah mencecah ribuan orang berdasarkan bilangan anak tempatan yang berjaya melanjutkan serta menamatkan pengajian di universiti awam sejak 10 hingga 20 tahun lalu.
Oleh Norman B





