Awang Tengah harap SPR teliti bantahan persempadanan DUN

Facebook
WhatsApp
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bercakap ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran OACS MINTRED 2030 sempena Hari Integriti dan Inovasi MINTRED 2026 di BCCK, Kuching.

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap meneliti dengan sewajarnya setiap bantahan yang dikemukakan masyarakat berhubung cadangan persempadanan bahagian pilihan raya negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pandangan masyarakat yang terlibat perlu diberi perhatian oleh SPR.

“Saya haraplah Suruhanjaya Pilihan Raya akan melihat dengan teliti petisyen yang dibuat oleh masyarakat yang terlibat. Memang ada bantahan juga yang dibuat GPS yang dikemukakan. Saya juga mahu ianya dibuat dengan secara teruslah,” katanya.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR)

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) MINTRED 2030 sempena Hari Integriti dan Inovasi MINTRED 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Untuk rekod, hari ini merupakan tarikh akhir penyerahan representasi terhadap syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-7.

SPR sebelum ini memaklumkan menerima 18 representasi bantahan setakat 23 September, antaranya berkaitan perubahan daerah mengundi daripada satu kawasan DUN kepada kawasan DUN lain serta cadangan nama DUN.

Cadangan persempadanan itu melibatkan penambahan 17 kerusi DUN, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 82 kepada 99 kerusi.

Oleh Masrin Affirah