Lawatan kerja Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman ke IPD Kuching tekankan kecemerlangan, kebajikan

Facebook
WhatsApp
CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah diberi taklimat oleh ACP Alexson Naga Chabu.

KUCHING: Lawatan kerja Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam mengetengahkan aspek kecemerlangan, penghargaan dan kebajikan warga polis.

Ketibaan beliau yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 9.30 pagi, semalam disambut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu, diiringi Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa.

Mohamad Zainal turut memeriksa Kawalan Kehormatan yang melibatkan pegawai kanan dan pegawai rendah polis sebelum disambut dengan persembahan tarian selamat datang oleh penari Sri Tari.

Alexson kemudian menyampaikan taklimat sebelum Mohamad Zainal menyampaikan ucapan dan amanat kepada warga IPD Kuching.

Lawatan itu turut menjadi platform untuk menghargai dedikasi dan sumbangan warga polis apabila surat penghargaan disampaikan kepada pegawai kanan serta pegawai rendah polis atas kejayaan yang dicapai dalam melaksanakan tugas.

“Penghargaan seperti ini penting bagi menghargai komitmen dan pengorbanan warga polis dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” kata Alexson.

Dalam aspek kebajikan pula, Mohamad Zainal menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf di Rumah PERKEP IPD Kuching.

Beliau turut menandatangani Buku Lawatan IPD Kuching sebelum meneruskan program bersama barisan kepimpinan dan warga kerja IPD Kuching.

Turut hadir pegawai kanan PDRM Sarawak, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua polis balai serta pegawai kanan dan pegawai rendah polis IPD Kuching.

Oleh Connie Chieng