SARIKEI: Usaha menghargai kecemerlangan pelajar sambil memelihara kebajikan warga emas mencerminkan nilai kekeluargaan yang perlu terus dipertahankan dalam membina masyarakat yang kukuh dan berdaya tahan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Persatuan Wu Bahagian Sarikei bukan sekadar menjadi wadah mengeratkan hubungan sesama ahli, malah berperanan sebagai sebuah keluarga besar yang mewariskan nilai hormat kepada golongan tua serta kasih saying kepada generasi muda.
“Persatuan ini bukan hanya sebuah platform untuk hubungan kekeluargaan dalam kalangan ahli, tetapi sebuah keluarga besar yang telah berkembang dari satu generasi ke satu generasi.
“Melalui usaha yang dilakukan sedikit demi sedikit, persatuan terus menemani perkembangan anak-anak dan mewariskan semangat menghormati golongan tua serta menyayangi golongan muda,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya, Penghulu Huang Tiong Kang, pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik, Penghargaan Warga Emas dan Sambutan Perayaan Kuih Bulan Persatuan Wu Bahagian Sarikei, baru-baru ini.
Katanya, pelajar yang menerima insentif kecemerlangan akademik perlu melihat pencapaian itu bukan sahaja sebagai kejayaan peribadi, tetapi juga sebagai kebanggaan keluarga dan persatuan.
“Kejayaan dalam pelajaran turut lahir daripada sokongan berterusan ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada anak-anak sepanjang perjalanan pendidikan mereka.
“Saya berharap para pelajar sentiasa mempunyai rasa syukur, menghargai setiap individu yang membantu dan menemani mereka dalam perjalanan hidup serta terus berusaha memperbaiki diri dari hari ke hari,” katanya.
Beliau turut memberi penghargaan kepada golongan warga emas yang disifatkan sebagai akar kepada keluarga besar berkenaan kerana pengorbanan mereka telah menjadi asas kepada perkembangan generasi hari ini.
“Golongan warga emas yang hadir pada malam ini merupakan akar sebenar kepada keluarga besar ini. Ketika muda, anda semua telah banyak berkorban dan memberikan yang terbaik kepada generasi seterusnya.
“Disebabkan pengorbanan itulah, kita dapat melihat sebuah persatuan yang terus berkembang dengan generasi pewaris yang semakin ramai,” katanya.
Tambahnya, pendidikan sentiasa menjadi antara perkara yang paling diberikan perhatian olehnya sebagai wakil rakyat kerana masa depan sesebuah komuniti bergantung pada keupayaan generasi mudanya mendapat pendidikan yang baik dan membesar dalam persekitaran yang sihat.
Semangat menghormati warga emas, menyayangi golongan muda serta mengenang jasa perlu terus disemai agar nilai berkenaan dapat berkembang dalam setiap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan yang menurutnya banyak menyokong keharmonian masyarakat berbilang kaum serta kelangsungan pertubuhan masyarakat dan persatuan berasaskan komuniti.
Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam bidang pendidikan dan kebajikan juta telah memberikan lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mengikuti pendidikan dengan lebih baik, di samping memastikan golongan warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih terjamin.
“Pendekatan yang mengutamakan rakyat inilah antara perkara paling bernilai yang diberikan oleh kerajaan Sarawak kepada masyarakat,” katanya.
Bagi membantu Persatuan Wu Bahagian Sarikei meneruskan usaha dalam bidang pendidikan dan kebajikan, Huang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada persatuan tersebut.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat digunakan bagi memperkukuh program pendidikan, kebajikan serta aktiviti yang memberikan manfaat kepada ahli dan masyarakat setempat.
Oleh Earl Anek





