KUCHING: Polis menegaskan tindakan undang-undang dalam kes perjudian dalam talian hanya boleh diambil terhadap individu yang mempunyai bukti kukuh melakukan kesalahan ketika tangkapan dibuat.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, perkara itu menjawab dakwaan di media sosial yang mempersoalkan tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja bawahan sedangkan pemilik premis perjudian dalam talian didakwa tidak dikenakan tindakan.
Menurutnya, pihak polis perlu mempunyai bukti yang mencukupi sebelum tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu.
“Kita hanya boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang mempunyai bukti kukuh melakukan kesalahan jenayah pada masa tangkapan dilakukan,” katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi September 2026 di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, antara kekangan dalam menangani kegiatan perjudian dalam talian ialah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 belum merangkumi kegiatan perjudian dalam talian secara khusus.
Sehubungan itu, katanya, pindaan atau penggubalan undang-undang yang bersesuaian diperlukan bagi menangani kegiatan perjudian dalam talian dengan lebih berkesan.
“Undang-undang perlu digubal semula dan usaha membanteras memerlukan kerjasama pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT)
untuk menyekat sistem judi dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, PDRM tetap menjalankan tangkapan dan membawa kes berkaitan untuk pendakwaan di mahkamah berdasarkan bukti yang diperoleh dalam siasatan.
Kenyataan itu susulan dua kejadian tangkapan ejen tambah nilai judi dalam talian yang membabitkan premis perniagaan di Saratok dan Kabong pada 23 dan 24 September lalu.
Sebelum ini, pada 23 September lalu, polis menahan dua wanita tempatan berusia 22 dan 25 tahun dalam dua serbuan berasingan di Saratok kerana disyaki menjadi ejen jualan tambah nilai judi dalam talian.
Kedua-duanya mengaku menjalankan kegiatan itu kira-kira sebulan sebagai pendapatan sampingan.
Pada 24 September pula, polis menahan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dalam Op Dadu di sebuah premis perniagaan di Pekan Kabong kerana disyaki menjadi ejen jualan tambah nilai judi dalam talian.
Suspek mengaku menjalankan kegiatan itu sejak seminggu lalu selepas mula bekerja di kedai runcit berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud




