KUCHING: Polis menahan tiga individu dan mengenal pasti 10 lagi suspek berhubung kes khianat menggunakan api membabitkan kedai serbaneka di Sarawak.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebahagian daripada suspek yang dikenal pasti dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berkenaan berpunca daripada perebutan perniagaan membabitkan penjualan tambah nilai (top-up) bagi perjudian dalam talian.
“Pihak polis telah menahan tiga individu dan mengenal pasti lebih kurang 10 lagi suspek yang terlibat, yang mana sesetengah daripada mereka telah melarikan diri ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi September 2026 di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, suspek yang melarikan diri ke luar negara merupakan warga tempatan dan polis sedang mendapatkan bantuan pihak berkaitan untuk mengesan mereka.
Katanya, kes berkenaan merupakan kesalahan serius dan mempunyai unsur jenayah terancang berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan.
“Khianat dengan api merupakan kesalahan jenayah terancang yang serius. Polis sedang berusaha mendapatkan bantuan luar negara,” katanya.
Ditanya sama ada polis telah mengenal pasti dalang di sebalik kejadian berkenaan, beliau berkata siasatan masih dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap lesen premis kedai serbaneka yang disalahgunakan.
Sebelum ini, polis melaporkan dua kejadian membabitkan kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman pada 20 September lalu mempunyai modus operandi hampir sama, apabila dua lelaki bertopeng dan berpakaian gelap memasuki premis sebelum membaling objek dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar.
Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, manakala polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan bahan yang digunakan dalam kejadian.
Pada 24 September lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan sama ada beberapa serangan terhadap kedai serbaneka di Sarawak mempunyai kaitan serta mengenal pasti pihak yang merancang atau mengarahkan kejadian.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas seorang lelaki berusia 36 tahun direman lanjut selama tiga hari pada 28 September lalu bagi membantu siasatan kes khianat menggunakan api membabitkan sebuah kedai serbaneka di Jalan Green, Sin Sin Park, Kuching.
Oleh Shikin Mahmud




