KUCHING: Polis tidak mengesan unsur khianat dalam siasatan nahas helikopter yang mengorbankan lima nyawa di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah mengambil keterangan saksi selain memeriksa lokasi yang dilalui penumpang dan helikopter terbabit.
“Setakat ini, tiada unsur khianat dikesan dan kejadian dipercayai berpunca daripada masalah teknikal,” katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi September 2026 di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, penentuan punca sebenar nahas masih tertakluk kepada siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
Menurutnya, laporan awal BSKU dijangka dikeluarkan seawal 30 hari selepas kejadian, manakala kertas siasatan polis kini hampir lengkap.


WARGA PDRM Kontinjen Sarawak menyertai perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi September 2026 di Padang Kawad, IPK Sarawak, hari ini.
“Kertas siasatan polis hampir lengkap dan akan diserahkan kepada koroner,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, siasatan polis juga masih bergantung pada laporan penuh daripada agensi berkaitan sebelum keseluruhan kertas siasatan dapat dihantar kepada pihak koroner.
Dalam kejadian 8 September lalu, helikopter BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang ketika menjalankan perkhidmatan doktor udara (FDS), mengorbankan lima individu termasuk juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sebelum ini, BSKU telah menjalankan pemeriksaan di lokasi, termasuk terhadap bangkai pesawat, rekod operasi dan penyelenggaraan, maklumat kru serta keadaan cuaca.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum ini memaklumkan laporan awal nahas dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari, manakala laporan penuh dijangka mengambil tempoh lebih panjang.
Shikin Mahmud





