MIDA, MINTRED lancar Program Rantaian Bekalan bagi perkasa hubungan firma tempatan, pasaran global

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan. Foto Ukas

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak hari ini melancarkan Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak bagi memperkukuh hubungan industri, membangunkan perusahaan tempatan serta meningkatkan penyertaan Sarawak dalam rantaian bekalan serantau dan global. 

Program itu diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

Rakan kongsi strategiknya termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), InvestSarawak, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Menurut kerajaan Sarawak dalam satu kenyataan bersama, program dua hari itu menampilkan sesi rangkaian, forum perkongsian ilmu, sesi pemadanan perniagaan dan klinik perniagaan yang direka bentuk bagi memudahkan kerjasama antara perusahaan tempatan serta pemain industri global. 

“Dengan penyertaan lebih 300 peserta, program ini bertujuan mengubah hubungan perniagaan menjadi hasil komersial yang nyata, termasuk pembangunan pembekal, peluang pelaburan, pemindahan teknologi dan penciptaan pekerjaan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata program itu menghimpunkan syarikat peneraju dan perniagaan berpangkalan di Sarawak bagi meningkatkan pemahaman mengenai keperluan perolehan, mengenal pasti jurang keupayaan serta memupuk hubungan perniagaan yang lebih kukuh. 

“Kami mahu melihat lebih banyak syarikat Sarawak menjadi pembekal dan rakan kongsi kepada pelabur ini, meningkatkan keupayaan mereka dan akhirnya meletakkan diri mereka pada kedudukan untuk menyertai rantaian bekalan serantau serta global.

“Ini mencerminkan semangat #InvestLokal, iaitu memastikan pelaburan diterjemahkan kepada keupayaan tempatan yang lebih kukuh, jaringan industri yang lebih mendalam serta peluang yang lebih besar bagi perniagaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata negeri itu telah memasuki fasa baharu pembangunan perindustrian. 

Beliau berkata tumpuan kini melangkaui usaha menarik pelaburan bagi memastikan pelaburan tersebut menjana nilai ekonomi yang bermakna melalui penglibatan tempatan yang lebih kukuh, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan integrasi ke dalam rantaian bekalan global.

Pada masa sama, Awang Tengah turut menggalakkan perusahaan Sarawak untuk merebut peluang yang ditawarkan oleh program itu dengan meningkatkan daya saing, melaksanakan transformasi digital, melabur dalam teknologi, mengguna pakai piawaian antarabangsa serta memperkukuh keupayaan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan pasaran global. – Bernama