KUCHING: Perbezaan etnik dan budaya tidak menjadi penghalang untuk seorang anak tempatan berbangsa Iban jatuh cinta terhadap alat muzik etnik Orang Ulu yakni sape sekali gus menjadikan ia sebagai lubuk rezeki dengan membuat dan menjualnya.
Elvin Jawol, 31, seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kajian Pembangunan mengakui beliau mulai jatuh hati terhadap alat muzik tersebut pada tahun 2016 semasa melakukan kajian penyelidikan di Murum, Belaga yang merupakan sebuah perkampungan etnik Penan.
“Pada masa itu, seorang pemain sape bernama Kuit Kilah menunjukkan bakat beliau dalam bermain sape. Saya diberi peluang untuk memegang dan bermain sape dan sejak dari itu saya mula menyimpan hasrat untuk membuat sape
“Sehingga kini, saya terus komited dalam membuat sape sehingga mampu menjana sedikit pendapatan melaluinya kerana mendapat banyak motivasi dari Peter Omar merupakan seorang pembuat sape dan pemain sape berbangsa Iban dan Mathew Ngau yang selalu memberi semangat kepada saya sebagai orang muda untuk menyahut cabaran beliau agar terus menyambung legasi pembuatan sape kerana menurut beliau, golongan muda pada masa sekarang hanya berminat untuk membeli dan bermain sape sahaja dan kurang minat atau kurang arif membuat sape,” akuinya ketika ditemu bual.
Meskipun tidak menghadiri sebarang kelas khusus dalam bidang pembuatan sape, Elvin bertekad untuk meraih impiannya dengan membuat penelitian menerusi video dalam YouTube dengan menggunakan sebaiknya kemahiran pertukangan yang beliau pelajari sejak dari kecil ketika membantu bapanya membuat kerja pertukangan.
“Berbekalkan video yang saya tonton menerusi YouTube dan kemahiran dalam bidang pertukangan yang saya miliki, saya mulai membuat sape yang pertama pada awal tahun 2017 iaitu selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana (Master) sementara menunggu tawaran pengajian pada peringkat PhD di Universiti Malaysia Sarawak.
“Pada mulanya, setiap minggu saya membuat sape dan ada kalanya saya akan berjumpa pembuat sape lain untuk saling berkongsi tips cara membuat sape dengan lebih cekap dan pantas.
“Cikgu Dines Ngau dan Peter Omar merupakan dua individu yang sudi berkongsi tips dalam pembuatan sape dan sejak dari situ, saya aktif membuat sape pada setiap minggu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Elvin mengakui proses yang dilalui untuk menyiapkan sebuah sape memerlukan tempoh sekurang-kurangnya satu bulan kerana proses membuatnya yang rumit dan beliau juga perlu membahagikan masa untuk pengajiannya.
“Selain memerlukan masa dan proses yang teliti, saya juga perlu memilih kayu yang digunakan dan setiap kayu mempunyai kegunaan yang tersendiri. Misalnya, kayu-kayu yang saya gunakan ialah kayu Gerunggang, Medang Pawas atau Tibulus, Medang Sarsi atau Ruan, Temau, Adau atau Arau, Cempedak, Empetir, Emplaie Lilin dan Nyatoh.
“Proses membuat ukiran sape juga bergantung kepada jenis ukiran dan ia mengambil masa secara purata dalam masa sehari.
“Ukiran sape yang saya buat adalah diilhamkan daripada akar tumbuhan yang menjalar. Kebiasaannya ukiran ini turut dipamerkan di rumah panjang Orang Ulu.
“Selain itu, saya juga pernah menghasilkan ukiran bermotifkan pua kumbu dan ukiran iban yang lain seperti bungai terung,” ceritanya yang turut mengakui para pembeli yang membeli sape beliau rata-rata terpikat dengan gambar yang dihantar beliau menerusi media sosial Facebook dan Instagram selain dengan harga sape yang beliau hasilkan adalah mampu milik.
Oleh RYNNA SHA’ERRA