KUCHING: Kejayaan untuk dipilih ke Sukan Paralimpik diharap dapat membuka mata orang ramai tentang keupayaan orang kelainan upaya (OKU) dan seterusnya mengubah sikap dan perspektif terhadap keupayaan OKU, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Katanya, Kerajaan Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pemilihan atlet para Sarawak untuk mewakili Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Untuk edisi ke-16, 22 atlet paralimpik Malaysia merangkumi sembilan jenis sukan yang mana lima orang atlet adalah berasal dari Sarawak.
“Antaranya adalah, Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, Jamery Siga dan Wiro Julin.
“Semua atlet para ini merupakan anak Sarawak. Kita harus berasa bangga dengan kemajuan dan kejayaan mereka,” katanya pada sidang media ‘Let’s Support Our Para Athletes In Tokyo Paralympics 2020’ secara maya, semalam.
Tambahnya, penglibatan mereka (atlet) dapat dijadikan inspirasi kepada golongan OKU atau berkeperluan khas yang lain.
“Sesungguhnya kekurangan mereka bukan penghalang untuk seseorang OKU berjaya dalam kehidupan.
“Saya mendoakan agar segala urusan kontinjen negara di Paralimpik Tokyo, Jepun berjalan dengan lancar, doa agar mereka sihat, dilindungi daripada sebarang musibah dan penyakit dan mereka dapat beranding dengan tenang, tabah dan penuh semangat,” ujarnya.
Beliau juga ingin menggesa rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan agar atlet para Malaysia khusus termasuk atlet para Sarawak di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 membawa kejayaan untuk diri sendiri, keluarga dan negara.
Oleh NUR AIN OTSMAN