75 individu, 69 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu IPD Meradong

Facebook
WhatsApp
OPERASI bersepadu IPD Meradong yang dijalankan semalam. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Seramai 75 individu dan 69 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di beberapa kawasan tumpuan sekitar daerah tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, operasi selama enam jam bermula 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu melibatkan seramai 16 anggota polis.

“Operasi merangkumi rondaan, pemeriksaan mengejut dan Sekatan Jalan Raya (SJR) dengan tumpuan diberikan di beberapa kawasan sekitar Meradong,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan sebagai sebahagian usaha meningkatkan kehadiran polis serta mencegah jenayah di Daerah Meradong. Foto IPD Meradong

Katanya, pemeriksaan terhadap individu dan kenderaan dilakukan sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan jenayah dan pemantauan keselamatan di kawasan tersebut.

“Sepanjang operasi, polis memeriksa seramai 75 individu dan 69 kenderaan, selain mengeluarkan lima saman Pol. 257,” katanya.

Tansli berkata, tiada tangkapan atau rampasan direkodkan sepanjang operasi bersepadu.

SERAMAI 75 individu dan 69 kenderaan diperiksa sepanjang operasi selama enam jam yang dilaksanakan IPD Meradong, semalam. Foto IPD Meradong

Bagaimanapun, satu laporan polis telah dibuat dibawah Bintangor/002078/26.

Tambahnya, pelaksanaan operasi tersebut merupakan antara langkah meningkatkan kehadiran polis di lapangan, selain menjalankan pemantauan secara langsung di kawasan yang menjadi tumpuan.

“Operasi ini bertujuan meningkatkan kehadiran polis, mencegah jenayah dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Meradong,” katanya lagi.

Katanya, ia juga membolehkan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya dilaksanakan secara bersepadu sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan dan penguatkuasaan polis di daerah tersebut.

Oleh Earl Anek