PUTRAJAYA: Parti pembangkang tidak akan mempersulit kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita beritahu (kepada Perdana Menteri) kalau suasana dan program-program itu agak pro rakyat kita tak akan persulitkan.
“Kita beri jaminan kalau program pro rakyat, program menangani Covid-19 ini lebih berkesan, maka kita tiada masalah untuk menjamin keadaan lebih terkawal,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.
Anwar berkata demikian mengulas mengenai gesaan supaya usul undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Dua lagi pemimpin pembangkang iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyertai pertemuan itu yang dibuat atas jemputan Pejabat Perdana Menteri.
Ketiga-tiga pemimpin itu tiba di Bangunan Perdana Putra pada 2.00 petang dengan menaiki kenderaan berasingan dan pulang kira-kira 3.30 petang.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan segera di Parlimen. Gesaan itu disokong oleh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dengan menyatakan bahawa usul undi percaya perlu dilakukan meskipun Ahli Parlimen Bera itu, telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata dalam pertemuan lebih sejam itu, beliau telah mengemukakan isu menangani permasalahan Covid-19 yang lebih berkesan, program-program pro rakyat yang lebih menyentuh permasalahan golongan miskin dan kehilangan pekerjaan.
“Itu kita tekankan sebagai yang asas. Jadi untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik itu memang dipersetujui,” katanya sambil menambah beliau berharap isu-isu itu akan menjadi keutamaan Perdana Menteri baharu.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana meluangkan masa berbincang dengan parti-parti pembangkang.
“Saya ucap terima kasih… Ismail Sabri ini mewakili UMNO dan dia bincang dengan Anwar dan DAP. Saya bergurau dengan dia, No Anwar No DAP, ini nampak dah berubahlah. Dia kata ini kerana semangat titah tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk kerjasama (dengan semua pihak),” katanya.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu Lim turut mengemukakan isu ekonomi termasuk moratorium bank manakala Mohamad pula membangkitkan soal kesan parah Covid-19 di beberapa kawasan yang menuntut pendekatan baru dan tidak terikat dengan kaedah lama yang terbukti belum cukup berkesan.
Ditanya sama ada isu Majlis Pemulihan Negara dibincangkan dalam pertemuan tersebut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata perkara itu tidak dibincangkan.
Mengenai jawatan ketua pembangkang ditawarkan saraan dan kemudahan yang setara dengan menteri kanan seperti yang pernah diusulkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar berkata perkara itu tidak berbangkit.
“Saya pun tidak (berminat), saya tidak mahu itu dijadikan isu. Daripada awal kita kata kita tak datang untuk meminta jawatan untuk kita, isu kita khusus soal ekonomi rakyat dan Covid-19,” katanya.
Anwar berkata, selepas pertemuan tadi, parti-parti pembangkang akan mengadakan mesyuarat susulan di peringkat jawatankuasa.
“(Mesyuarat) ini untuk mencerakinkan apa yang boleh dipersetujui dan langkah-langkah harus diambil supaya keadaan kedudukan perdana menteri dan kedudukan negara lebih terkawal dan nyaman politiknya,” katanya. – Bernama