KLUANG: Pelarasan gaji minimum perlu mengambil kira keseimbangan antara usaha meningkatkan kesejahteraan pekerja dengan memastikan kelangsungan majikan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata perkara itu juga perlu mengambil kira keadaan majikan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang mungkin menghadapi implikasi kos sekiranya kadar gaji minimum dinaikkan.
“Kita mengambil kira beberapa segmen dan juga mekanisme agar pelaksanaan itu diimbangi untuk kita terus menyantuni warga kerja dan pada masa sama kelangsungan majikan terutama kalangan peniaga kecil PMKS,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini, hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun sebarang perkembangan mengenai perkara itu, termasuk kemungkinan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, wajar menunggu pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Belanjawan 2027.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan pakar ekonomi berhubung peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 yang boleh memberikan kesan terhadap peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM127 juta bagi projek pembaikan dan penyelenggaraan kuarters serta balai polis di seluruh negara mengikut Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Beliau berkata jumlah itu termasuk tambahan peruntukan RM5 juta menerusi Notis Perubahan (NOC), berbanding peruntukan asal sebanyak RM122 juta.
Daripada jumlah keseluruhan itu, RM44.35 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan balai polis, manakala RM77.65 juta melibatkan pembaikan dan penyelenggaraan 3,716 unit kuarters di seluruh negara.
Beliau berkata bagi Kluang, sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan, termasuk bagi penambahbaikan 10 blok kuarters serta kerja pembaikan premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada dalam pentadbiran IPD Kluang.
“Pendekatan ini memastikan peruntukan pembangunan disasarkan kepada keperluan sebenar dan memberikan impak kepada penyampaian perkhidmatan awam,” katanya. – Bernama




