BINTULU: Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) Cawangan Bintulu memberi jaminan akan meningkatkan pemantauan dan menjalankan pemeriksaan secara berterusan bagi memberi keyakinan kepada pengguna bahawa setiap barangan dan perkhidmatan berhubung dengan keperluan halal dan mempunyai pensijilan yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa.
Ketua Cawangan KPDNHEP Cawangan Bintulu Nazari Bin Hassan berkata, pihaknya bersama Pejabat Agama Islam Bahagian Bintulu telah menjalankan pemeriksaan bersepadu di bawah Ops Suci ke atas premis-premis yang menggunakan
logo Halal di sekitar Bandar Bintulu.
“Sasaran Ops Suci adalah melibatkan premis-premis yang menjalankan perniagaan membekalkan makanan dan barangan yang diperihalkan halal atau mempunyai penunjukan atau ungkapan bahawa makanan dan barang-barang boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di sini Selasa lalu.
Menurutnya, sebanyak tujuh premis terdiri daripada tiga buah hotel, tiga restoran makanan segera dan sebuah restoran makanan laut telah diperiksa dalam operasi tersebut.
Katanya, pemeriksaan dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Akta Cap Dagangan 2019 (bagi kesalahan cap dagangan palsu berkaitan logo halal JAKIM/JAIN).
“Pemeriksaan yang dijalankan antaranya merangkumi penggunaan perbahasaan halal oleh premis, semakan ke atas status pensijilan halal dan kesahihan dokumen-dokumen daripada pihak pembekal,” katanya.
Selain itu aspek kebersihan premis juga dititikberatkan terutama keadaan dapur bagi memastikan penyediaan makanan adalah mengikut syarak dan tidak menggunakan bahan-bahan yang meragukan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis mematuhi setiap peruntukan dibawah
perundangan dan kriteria yang ditetapkan” ujarnya.
Dalam pada itu, KPDNHEP memberi amaran kepada peniaga persendirian atau syarikat-syarikat agar tidak sewenang-wenang mengunakan logo halal yang tidak diiktiraf atau apa jua penyataan atau ungkapan yang mengelirukan pengguna berhubung status halal makanan atau barangan mereka.
“Ungkapan halal seperti ‘ditanggung halal’, ‘makanan orang islam’, ‘buffet Ramadan’ dan lambang lain atau objek Islam yang mengelirukan adalah dilarang,” katanya.
Sehubungan itu, mereka yang ingin membuat permohonanan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal, permohonan juga boleh dibuat secara atas talian di http:/apps.halal.gov.my/myehalal.
Walau bagaimanapun, permohonan pensijilan halal di Malaysia adalah sukarela dan tidak diwajibkan.
“Peniaga juga perlu berhati-hati dalam menjual atau mengedar produk makanan atau bahan-bahan untuk memproses makanan terutama yang diimport daripada luar negara yang mungkin diragui status pensijilan halal,” katanya.
Bagi produk makanan atau barang yang diimport peniaga sepatutnya tidak menimbulkan sebarang masalah bagi mengesahkan status pensijilan halal negara yang berkaitan kerana pihak JAKIM telah menyediakan kemudahan saluran semakan melalui portal halal di www.halal.gov.my atau dari laman web Jabatan Agama Negeri masing-masing.
“Jadi, isu atau alasan bahawa peniaga tidak tahu mengenai status halal produk import adalah tidak munasabah,” katanya.
Tegas beliau, hukuman bagi mereka yang melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 adalah denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda sehingga RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan.
Kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 pula boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan denda sehingga RM5 juta.
Justeru katanya, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika mengunjungi premis-premis yang menggunakan logo halal atau apa-apa ungkapan halal yang meragukan.
“Mereka hendaklah sentiasa membuat semakan ke atas penggunaan logo halal di premis atau produk yang dibeli sama ada makanan atau barangan gunaan yang lain,”
“Ditambah pula dengan trend pembelian secara dalam talian yang semakin meningkat, pengguna pada bila-bila masa boleh membeli secara terus tanpa mengetahui status halal barangan atau produk yang dibeli,” katanya.
Nazari menambah, sekiranya terdapat keraguan mengenai status halal atau apa jua isu halal yang tular mereka perlu merujuk dahulu kepada pihak yang berwibawa seperti JAKIM dan JAIN bagi mendapatkan pengesahan.
Sehubungan itu, semua pihak diminta untuk memberi kerjasama kepada pihak KPDNHEP dengan menyalurkan sebarang aduan berkenaan isu halal, bekalan dan harga barangan keperluan asas serta perdagangan yang tidak beretika.
Oleh ELLIE EDWARD