SKS Betong 2026 tonjol potensi, pacu pembangunan Bahagian Betong – Uggah

Facebook
WhatsApp
MAJLIS perasmian SKS Betong 2026 telah disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Sukan Betong, semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

BETONG: Program Sarawak Ku Sayang (SKS) Betong 2026 menjadi platform mengetengahkan potensi dan perkembangan bahagian itu, selain membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada masyarakat.

Berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Kompleks Sukan Betong, program berkenaan menghimpunkan 47 agensi dengan 158 perkhidmatan meliputi pentadbiran, digital dan inovasi, keusahawanan, pendidikan, kesihatan, sosial serta kebajikan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata SKS Betong memberi peluang kepada masyarakat melihat perkembangan semasa, pencapaian yang telah dicapai serta perancangan pembangunan untuk masa depan.

“Program Sarawak Ku Sayang Betong memberi peluang kepada kita melihat ke mana Betong sedang bergerak, apa yang telah kita capai dan, yang paling penting, apa yang sedang kita bina untuk masa depan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Majlis perasmian SKS Betong 2026 telah disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Sukan Betong, semalam.

Menurut Uggah, antara pemangkin baharu pembangunan Betong ialah Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling yang mencatat sejarah apabila pesawat King Air milik Hornbill Skyways selamat mendarat pada 18 September lalu selepas penerbangan percubaan kira-kira 15 minit dari Kuching.

Kemudahan bernilai RM296 juta itu bukan sahaja berperanan sebagai pintu masuk pelancongan dan pergerakan penumpang, malah berpotensi menyokong penghantaran produk kraf, pertanian, makanan dan kargo.

“Inilah maksud ‘Betong to the World’, membawa Betong lebih maju, membuka pasaran lebih luas kepada produk tempatan dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Dalam sektor pertanian, Uggah berkata pembangunan Bebuling Agropark dan Lubok Tamang Agropark membuka peluang kepada masyarakat mempelbagaikan sumber pendapatan serta meningkatkan pengeluaran secara komersial.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Program Sarawak Ku Sayang (SKS) Betong 2026 di Kompleks Sukan Betong, semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

Katanya, pembangunan sektor itu perlu disokong rantaian bekalan lengkap merangkumi pengeluaran, pengumpulan, pembungkusan, pemprosesan dan pemasaran supaya hasil pertanian mempunyai nilai tambah serta pasaran lebih luas.

“Pertanian bukan lagi sekadar tanam, tuai dan jual. Kita mahu membina ekosistem rantaian bekalan lengkap – daripada input, pengeluaran, pengumpulan, pembungkusan, pemprosesan dan pemasaran sehingga kepada pengguna,” katanya.

Potensi pelancongan dan kebudayaan turut diberi perhatian menerusi pelbagai tarikan, termasuk Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok yang dibangunkan dengan kos RM16 juta.

Uggah berkata pembangunan itu berpotensi merancakkan aktiviti pelancongan serta membuka peluang ekonomi kepada masyarakat melalui produk hiliran seperti Baju Dabong, Pua Kumbu, Kain Kebat, anyaman kraf dan ukiran.

Dalam bidang pendidikan pula, Betong sedang bergerak ke arah menjadi Centre of Excellence of Education menerusi pembangunan kampus baharu CENTEXS Betong dan penubuhan Yayasan Sarawak International School di Spaoh.

Kampus CENTEXS itu bakal menyediakan latihan kemahiran dalam bidang industri penerbangan, minyak dan gas, aplikasi mudah alih serta teknologi pertanian moden, manakala perancangan CENTEXS Flying Academy di Bebuling STOLport pula berpotensi membuka ruang latihan dalam bidang penerbangan.

“Kita mahu anak-anak Betong bukan sahaja mempunyai pekerjaan, tetapi mempunyai kemahiran, ilmu dan keyakinan untuk mencipta pekerjaan,” katanya.

Dari aspek infrastruktur, projek seperti Jambatan Batang Lupar 2, Jalan Ulu Paku–Ulu Kota serta hubungan Jambatan Batang Saribas 2 ke Roban Interchange dijangka memperkukuh jaringan perhubungan dan meningkatkan mobiliti rakyat, termasuk memudahkan hasil pertanian dibawa ke pasaran.

Pada masa yang sama, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) sedang melaksanakan 505 projek merangkumi infrastruktur, hal ehwal sosial dan wanita, agro-makanan, perniagaan, perindustrian dan keusahawanan, utiliti dan telekomunikasi serta pelancongan dan alam sekitar.

SKS Betong turut menjadi medan penyampaian pelbagai bantuan dan kemudahan kerajaan secara terus kepada rakyat, antaranya Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Bantuan Ibu Bersalin, Dana Wakaf Sarawak, Faedah Kesihatan Warga Emas, Geran Gerak Usahawan, Bantuan Kewangan Khas dan Bantuan Baucar Yayasan Sarawak.

“Semua program ini memastikan No One is Left Behind,” ujarnya.

Uggah berkata Betong mempunyai asas kukuh untuk terus berkembang berikutan keluasan tanah, sumber komoditi, tenaga rakyat serta jaringan perhubungan yang semakin baik.

“Kita bukan hanya membina Betong untuk hari ini. Kita sedang membina Betong untuk anak-anak, cucu-cucu dan generasi akan datang,” katanya.

Oleh Adi Safarman