SARATOK: Permainan gasing tradisional terus mendapat tempat dalam kemeriahan Pesta Saratok 2026 apabila Pertandingan Gasing Pangkah Kalaka menjadi antara acara sukan yang membuka tirai sambutan tahun ini.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kelab Gasing Kenyalang dengan menghimpunkan 20 pasukan dari beberapa kawasan termasuk Sri Aman, Spaoh, Debak dan tuan rumah Saratok.
Penganjuran Pesta Saratok 2026 dilaksanakan secara bergilir-gilir antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian dan ADUN Kalaka, dengan tahun ini menjadi giliran ADUN Krian sebagai tuan rumah.
ADUN Krian, Friday Belik berkata, penganjuran pertandingan berkenaan bukan sekadar menghidupkan suasana pesta, malah menjadi wadah penting untuk memperkenalkan semula permainan tradisional kepada generasi muda.

Menurut beliau, golongan belia perlu diberi peluang mengenali permainan warisan seperti gasing supaya seni dan budaya tersebut terus diwarisi serta tidak hilang ditelan arus pembangunan dan perubahan gaya hidup moden.
“Permainan tradisional seperti gasing perlu terus diketengahkan kerana ia mempunyai nilai budaya dan sejarah tersendiri, selain mampu menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat,” katanya ketika merasmikan pertandingan berkenaan, semalam.
Pada malam kedua pertandingan, Friday turut hadir bersama ADUN Kalaka, Mohamad Duri bagi memeriahkan persaingan yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan sokongan orang ramai.
Friday turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Gasing Kenyalang yang dipengerusikan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Harjam Jemain, atas usaha menjayakan Pertandingan Gasing Pangkah Kalaka sempena Pesta Saratok 2026.
Pertandingan Pangkah Gasing Kalaka sempena Pesta Saratok 2026 yang bersifat tertutup dan jemputan itu menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 berserta medal kepada johan, RM500 dan medal bagi naib johan, RM400 dan medal untuk tempat ketiga serta RM300 dan medal bagi tempat keempat.
Selain menghidupkan kembali permainan tradisional, pertandingan tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pasukan dan komuniti dari pelbagai kawasan yang mengambil bahagian.
Turut hadir pada majlis perasmian, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Brian Fung; Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu, Hatta Adenan, Hatta Adenan; Timbalan Ketua Cawangan PBB Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi; Setiausaha PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad serta kakitangan Pusat Khidmat ADUN N.39 Krian.
Oleh Adi Safarman





