Maraton Kuching batal, peserta kongsi reaksi berbeza

Facebook
WhatsApp
POON Ming Yuan, 27.

KUCHING: Maraton Kuching 2026 yang sepatutnya berlangsung hari ini (27 September 2026) dibatalkan pada saat akhir susulan keadaan jerebu, namun setiap peserta mempunyai reaksi berbeza terhadap keputusan tersebut.

Peserta dari Kota Kinabalu, Sabah, Poon Ming Yuan, 27, berkata dia sudah membuat persiapan selama tiga bulan untuk menyertai larian berkenaan.

“Saya memang sedih dan kecewa, tetapi hanya mengambil masa beberapa jam untuk berhenti berasa begitu.

“Jadi, saya fikir lebih baik saya manfaatkan masa yang ada di Kuching untuk berehat, berjalan-jalan, menikmati makanan tempatan dan santai sebelum pulang ke Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Sementara itu, Nur Farhana Fuad, 26, memahami keputusan pembatalan tersebut kerana aspek kesihatan dan keselamatan peserta perlu diutamakan.

NUR Farhana Fuad, 26.

“Larian jarak jauh dalam keadaan jerebu tetap boleh menimbulkan risiko kepada peserta walaupun bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) ketika itu masih membenarkan aktiviti luar.

“Bagi saya, mencegah lebih baik daripada mengambil risiko yang tidak perlu. Alhamdulillah, rasa terkilan itu terubat kerana mendapat pingat percuma,” katanya secara berseloroh.

Farhana turut berpandangan pembatalan lebih praktikal berbanding penangguhan kerana peserta sudah membuat persiapan termasuk tempahan penginapan, pengangkutan dan cuti.

“Saya berharap Maraton Kuching terus menjadi acara yang dinanti-nantikan pelari dari Sarawak, Malaysia dan luar negara dan saya harap dapat kembali menyertainya pada masa akan datang,” luahnya.

Bagi Azam Yusri, 25, penyertaan kali pertama dalam Maraton Kuching sepatutnya menjadi peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu.

AZAM Yusri, 25.

“Saya nak cuba sebab saya rasa ini satu pengalaman baharu untuk diri saya dan saya juga nak tengok sejauh mana kemampuan stamina saya.

“Namun perkara tu hanya tinggal hasrat je la tetapi saya memahami keputusan pembatalan dibuat demi keselamatan peserta.

“Bagaimanpun, saya masih bersemangat nak menyertai acara berkenaan sekiranya dianjurkan semula tahun depan. Saya nak cuba lagi kalau ada peluang tahun depan,” ujarnya.

Peserta dari Sibu, Maria, 30, berkata dia mula berlatih sedikit demi sedikit untuk Maraton Kuching, namun terpaksa berehat agak lama akibat jerebu dan latihan diteruskan kebanyakannya untuk ketahanan dan kekuatan sahaja.

“Sebenarnya saya rasa lega juga apabila acara dibatalkan. Risau jugak kalau tetap berlari dengan persiapan yang tidak cukup, terutama selepas lama berehat daripada latihan.

MARIA, 30.

“Jadi sekarang saya ambil peluang untuk ambil angin di sekitar Kuching. Boleh santai, jalan-jalan cari makan dan nikmati suasana Kuching. Tahun ini mungkin belum ada rezeki untuk berlari, jadi kita nikmati je dulu apa ada,” jelasnya.

Untuk rekod, Maraton Kuching 2026 merupakan edisi ke-11 dan sepatutnya berlangsung di Padang Merdeka hari ini, membabitkan kategori 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km, dengan sasaran sehingga 16,000 peserta.

Persatuan Maraton Kuching (KMA) mengumumkan pembatalan pada 25 September selepas memantau bacaan IPU dan petunjuk alam sekitar lain serta mendapatkan pandangan pihak berkuasa dan penasihat perubatan.

Keputusan itu dibuat bagi mengutamakan kesihatan dan keselamatan peserta, kru, sukarelawan, pegawai, pasukan perubatan serta orang awam.

Susulan pembatalan itu, KMA memaklumkan semua peserta berdaftar boleh mengambil pingat penamat dan baju penamat mulai 26 September di kawasan Alfresco, Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka.

Oleh Masrin Affirah