DARO: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.43 Daro kini bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, persiapan di peringkat akar umbi diperkasakan menerusi pelbagai program yang melibatkan anggota parti di setiap ranting.
Menurutnya, antara program yang dianjurkan ialah Program Santai Jom Pamuk Telo oleh Pergerakan Wanita PBB Cawangan Daro bersama Pergerakan Wanita Ranting Kampung Tengah dan ranting-ranting lain.

Katanya, program berkenaan turut menghimpunkan anggota parti daripada pergerakan bapa, wanita, pemuda dan belia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti di setiap ranting.
“Semua ahli parti telah disiapkan supaya memperkasakan ranting masing-masing dan bersiap sedia menghadapi PRN yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.
“Pada masa sama, ahli-ahli parti juga perlu melengkapkan diri dengan segala maklumat terkini, khususnya tentang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditunjangi PBB, supaya perkara berkenaan dapat difahami dan dijelaskan kepada rakyat,” jelasnya kepada pemberita, petang ini.
Dr Safiee turut mengingatkan seluruh anggota parti supaya memastikan setiap gerak kerja dirancang dengan baik selain terus mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, semangat ‘Sarawak First’ perlu terus disemai dalam kalangan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

“Pelbagai agenda pembangunan sedang rancak dilaksanakan dalam pelbagai aspek, bukan sahaja dari segi infrastruktur dan ekonomi, tetapi juga dalam memperkasakan pendidikan serta ilmu pengetahuan.
“Ini amat penting khususnya kepada generasi muda sebagai persediaan untuk memacu kemajuan wilayah Sarawak dan negara pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Dr Safiee menghadiri Program Santai Jum Pamuk Telo anjuran Pergerakan Wanita PBB N.43 Daro di Balai Raya, Dagen Kampung Ko, hari ini.
Oleh Akun Giman





