AICHI: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani kempunan meneruskan legasi pingat beregu lelaki Malaysia dalam temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila terkandas pada peringkat suku akhir saingan, hari ini.
Pasangan nombor enam dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, 13-21, 17-21 dalam aksi di Ichinomiya City Municipal Gymnasium.
Sze Fei yang ditemui selepas perlawanan itu berkata pada permainan kali ini beliau mengakui lebih banyak bertahan.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian pada edisi Hangzhou 2022 menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih pingat gangsa dalam acara berkenaan.

Lebih mengecewakan, cabaran negara dalam acara beregu lelaki kali ini berakhir selepas Aaron Chia-Tee Kai Wun terlebih dahulu tersingkir pada pusingan kedua, semalam.
Sementara itu, Izzuddin berkata meskipun kecewa, beliau menganggap ia sebagai cabaran untuk mereka terus memperbaiki kelemahan sebelum mengharungi kejohanan seterusnya.
“Kami akan fokus kepada kejohanan yang terdekat dahulu, iaitu Denmark dan Perancis,” katanya.
Izzuddin turut menyifatkan penampilan di Sukan Asia kali ini sebagai pengalaman berharga apabila berpeluang mempelajari banyak perkara daripada rakan pasukan dan jurulatih lain. – Bernama




