CPPC Spaoh RM16.06 juta perkukuh rantaian agromakanan Betong

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diiringi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, meninjau perkembangan CPPC Spaoh, semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Spaoh bernilai RM16.06 juta yang kini siap menjadi pemangkin kepada pengukuhan rantaian nilai agromakanan di Bahagian Betong.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, CPPC Spaoh merupakan sebahagian daripada pembangunan Bakul Makanan Sarikei–Bintangor–Betong di bawah Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak (SCORE) yang dirangka bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem agromakanan.

Menurut beliau, kewujudan CPPC Spaoh dan CPPC Layar juga mampu menghubungkan pengeluar serta usahawan tempatan dengan pasaran yang lebih luas, selain memastikan kemudahan yang disediakan kerajaan dimanfaatkan secara komersial.

ABANG Johari bersama Uggah ketika meninjau kemajuan CPPC Spaoh yang bernilai RM16.06 juta. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Pertanian bukan lagi sekadar tanam, tuai dan jual. Kita mahu membina ekosistem rantaian bekalan lengkap daripada input, pengeluaran, pengumpulan, pembungkusan, pemprosesan dan pemasaran sehingga kepada pengguna,” katanya.

Semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, diiringi Uggah berkesempatan meninjau perkembangan CPPC Spaoh bagi melihat sendiri kemudahan yang bakal menyokong aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan hasil agromakanan tempatan.

Uggah berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan sektor pertanian tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pengeluaran, sebaliknya merangkumi keseluruhan proses daripada pengeluaran sehingga produk dipasarkan kepada pengguna.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, usaha mempelbagaikan sektor pertanian perlu diteruskan menerusi pengenalan tanaman baharu yang mempunyai permintaan pasaran serta nilai ekonomi lebih tinggi.

“Kita mahu mempelbagaikan pertanian daripada tanaman tradisional kepada tanaman baharu yang mempunyai pasaran dan nilai lebih tinggi,” katanya.

CPPC Spaoh dan CPPC Layar menjadi antara kemudahan penting dalam membentuk ekosistem rantaian bekalan agromakanan di Betong, sekali gus menyediakan ruang kepada pengeluar dan usahawan tempatan untuk meningkatkan nilai hasil pertanian sebelum dipasarkan.

Inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada masyarakat Betong untuk menyertai rantaian bekalan perniagaan, di samping menyokong pertumbuhan sektor agromakanan dan menjana aktiviti ekonomi yang lebih luas di Sarawak.

Oleh Adi Safarman