SRI AMAN: Tuai-Tuai Rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan diseru supaya terus mendekati agensi-agensi kerajaan bagi memastikan urusan pentadbiran dan pembangunan rumah panjang dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta teratur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, peranan Tuai Rumah amat penting sebagai penghubung antara penduduk dengan agensi kerajaan.
Menurutnya, Tuai Rumah bukan sahaja berperanan dalam urusan pentadbiran komuniti, malah menjadi saluran penting dalam menyampaikan keperluan dan permasalahan penduduk rumah panjang.
“Kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan penting supaya setiap keperluan dan isu yang dihadapi penduduk dapat disampaikan melalui saluran yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Jeffery Teck, Melugu Tembawai, dekat sini semalam.
Dalam pada itu, Mong turut menggalakkan penduduk rumah panjang yang telah bersara daripada sektor kerajaan mahupun swasta supaya terus menyumbang pengalaman, pengetahuan dan idea kepada masyarakat setempat.
Katanya, pengalaman golongan pesara merupakan aset berharga yang boleh dimanfaatkan bagi membantu penduduk dalam pelbagai aspek pembangunan komuniti.
“Pengalaman golongan pesara merupakan satu aset yang boleh dimanfaatkan bagi membantu penduduk, khususnya dalam aspek pengurusan, pembangunan komuniti dan penyelesaian pelbagai isu di rumah panjang,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Bangga Munap dalam ucapannya menggesa Tuai-Tuai Rumah di kawasan Melugu-Dau supaya terus memberikan sokongan kepada kerajaan Sarawak melalui calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut beliau, gesaan itu dibuat dalam konteks menyokong kesinambungan pentadbiran dan pembangunan di kawasan berkenaan.
Dalam majlis sama, Mong mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jeffery Teck, Melugu Tembawai.
Sebanyak RM3,000 turut disalurkan kepada Biro Wanita Rumah Jeffery Teck, Melugu Tembawai bagi menyokong aktiviti dan program komuniti.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM100,000 bagi tujuan menaik taraf prasarana di rumah panjang Melugu Tembawai.
Peruntukan berkenaan diharap dapat memperkukuh kemudahan sedia ada sekali gus meningkatkan keselesaan penduduk rumah panjang.
Turut hadir ialah Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Sri Aman, Jesi Bintoh; Kaunselor Kedeny Kendawang; Kaunselor Ajin Buchol; Kaunselor Khamis Medang; Ahli Majlis Daerah Sri Aman, selain Tuai-Tuai Rumah, JKKK serta Biro Wanita dari kawasan Melugu dan kawasan berhampiran.
Oleh Adi Safarman




