Institusi pendidikan mesti kekal zon selamat, isu buli dan gangguan seksual perlu ditangani serius

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing menyerahkan APC kepada penerima. Foto Pusat Khidmat DUN Meradong

BINTANGOR: Institusi pendidikan perlu kekal sebagai zon selamat kepada setiap murid dengan isu buli serta gangguan seksual antara guru dan murid ditangani secara serius menerusi kerjasama warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif penting bagi memastikan kebajikan serta keselamatan murid sentiasa terpelihara.

“Guru, pemimpin sekolah, ibu bapa dan masyarakat perlu berganding bahu memastikan institusi pendidikan kekal sebagai zon selamat dengan membina budaya kasih sayang, hormat-menghormati dan empati demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif serta kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Majlis Jasamu Dikenang 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, semalam.

Ding turut mengingatkan warga pendidikan supaya mengamalkan nilai akauntabiliti, integriti, ketekunan dan empati, selain mempunyai rasa kesegeraan serta bertindak secara proaktif apabila berdepan perkara yang melibatkan kepentingan dan kebajikan murid.

Menurutnya, guru dan warga pendidikan merupakan antara nadi penting pembangunan negara kerana pendidikan menjadi asas dalam membentuk generasi penerus yang mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

“Seiring perubahan semasa, pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu memberikan perhatian terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Penekanan terhadap bidang tersebut penting bagi memastikan generasi muda mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang selari dengan aspirasi pembangunan Sarawak serta agenda ekonomi digital,” katanya.

Tambahnya, dalam menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21, warga pendidik perlu menyesuaikan diri dengan transformasi digital, memperkukuh inovasi pedagogi dan meningkatkan mutu penyampaian pendidikan mengikut keperluan semasa.

Pada majlis sama, seramai 78 penerima APC 2025 diraikan, terdiri daripada 69 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan sembilan Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP).

Katanya, pengiktirafan itu mencerminkan kualiti kerja, disiplin, personaliti, kerjasama dan impak positif yang diberikan oleh warga pendidikan dalam melaksanakan amanah masing-masing.

Beliau berharap pengiktirafan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada penerima untuk mengekalkan kecemerlangan, menjadi inspirasi kepada rakan sejawat serta menyuburkan budaya kerja berkualiti dan berprestasi tinggi.

Selain penerima APC, seramai 17 pesara turut diraikan sebagai penghargaan terhadap jasa, bakti dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat kepada kerajaan, masyarakat serta dunia pendidikan.

“Yang baru dikasihi, yang lama dihargai, budimu disanjung, jasamu dikenang sepanjang masa,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek