KUCHING: Penyanyi Mawat melakar pencapaian tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang pertama kategori Lagu Borneo Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25), malam tadi.
Mawat atau nama sebenarnya Gibrael Mawat Clement Saran, 24, membawa pulang trofi berkenaan menerusi lagu Dayang Bintang, hasil ciptaan dan lirik Maxwel Franklin Saran yang diterbitkan bersama MVM Music dan Assapai Music Production.
Kategori baharu itu diperkenalkan pada edisi ke-25 AIM sebagai pengiktirafan terhadap karya yang mengetengahkan identiti dan unsur muzik Borneo.
Bagi Mawat, kemenangan tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap Dayang Bintang, sebaliknya menjadi suntikan semangat kepada penggiat seni di Sarawak untuk terus berkarya tanpa mengira genre.
“Saya memang tidak sangka apabila AIM25 memperkenalkan kategori baharu ini dan Dayang Bintang pula terpilih sebagai antara calon sebelum akhirnya memenangi anugerah pertama bagi kategori berkenaan.
“Saya harap kemenangan ini dapat membuka mata rakyat Sarawak bahawa kita mampu pergi lebih jauh melalui hasil seni yang kita minati, sama ada tradisional atau moden, asalkan kita terus mengejar impian,” katanya ketika ditemui media selepas menerima anugerah.
Beliau berkata, karya akan datang mungkin terus mengetengahkan gabungan elemen tradisional dan moden bagi menarik minat pendengar daripada pelbagai peringkat usia.

Menurutnya, Dayang Bintang sendiri berasaskan muzik tradisional, namun disesuaikan dengan susunan muzik dan pendekatan moden supaya lebih mudah diterima pendengar muda mahupun golongan dewasa.
Mawat turut menyifatkan detik menerima trofi daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai sesuatu yang tidak dijangka.
“Itu memang mengejutkan. Saya tidak sangka Premier sendiri yang menyampaikan anugerah Lagu Borneo Terbaik pada AIM25,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga serta seluruh pasukan yang sentiasa menyokong perjalanan muziknya, termasuk Assapai Music Production.
Kemenangan itu menjadikan Dayang Bintang sebagai karya pertama yang diiktiraf menerusi kategori berkenaan, sekali gus mencatat satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni Mawat serta perkembangan muzik Borneo.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Oleh Adele Rissa




