KUCHING: Penyanyi tersohor Dato Seri Siti Nurhaliza mendedikasikan kemenangan pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) kepada semua pihak yang terlibat di sebalik tabir, terutama pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit yang menguatkan lagi sesebuah karya.
Beliau menang anugerah Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik dan Lagu Tradisional Terbaik.
Siti berkata, kejayaan sesebuah album bukan hanya bergantung kepada penyanyi yang berada di pentas, sebaliknya turut disokong oleh insan kreatif yang menghasilkan karya tersebut.
“Bagi saya, ini adalah kemenangan untuk mereka yang bersembunyi di sebalik tabir. Kadangkala orang terlepas pandang kerana artis yang berada di hadapan, tetapi sebenarnya unsur yang kuat datang daripada mereka yang mencipta lagu dan menulis lirik.
“Merekalah yang menguatkan lagi album saya,” katanya.
Menurut Siti, beliau sentiasa memastikan setiap album yang dihasilkan mempunyai kualiti terbaik agar layak dipertandingkan dan mendapat pengiktirafan dalam anugerah berprestij.
Beliau berkata, walaupun tidak memenangi sebarang kategori pada tahun sebelumnya, perkara itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan karya berkualiti.
“Walaupun tahun lepas saya tidak menang apa-apa kategori, tetapi itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk menghasilkan album terbaik untuk dicalonkan pada tahun ini,” katanya.
Siti berkata, jumlah kemenangan bukan ukuran utama kerana setiap pencalonan yang diterima sudah menjadi satu penghargaan buat dirinya dan pasukan.
Katanya, beliau menghantar beberapa lagu untuk pencalonan kerana setiap karya mempunyai kelebihan tersendiri dan memenuhi kriteria berbeza di mata juri.
“Kalau saya calonkan satu lagu sahaja, mungkin lagu itu tidak memenuhi kriteria juri. Tetapi apabila saya calonkan lebih daripada satu lagu, saya tahu setiap lagu ada kelebihan masing-masing.
“Apabila tiga atau empat lagu masuk ke peringkat akhir, itu adalah rezeki buat semua pencipta dan penerbit yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Siti turut mengenang jasa Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, yang banyak memberi inspirasi dalam perjalanan seninya terutama ketika membawakan lagu tradisional.
Katanya, semangat dan pesanan tokoh muzik tersebut sentiasa diingati setiap kali beliau merakamkan lagu berunsur tradisional.
“Pak Ngah tidak pernah hilang dalam ingatan saya. Semangat beliau sentiasa bersama saya, terutama apabila saya menyanyikan lagu tradisional. Ketika rakaman, saya selalu teringat pesanan-pesanan beliau,” katanya.
Oleh Adele Rissa




