KUCHING: Sarawak merekodkan 594 kes yang melibatkan 652 tangkapan berkaitan penguatkuasaan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance bagi tempoh Julai lalu.
Ia hasil daripada 437 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Sarawak.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, sebanyak 45 kes yang melibatkan 70 tangkapan adalah kesalahan membekal dan mengedar dadah dan substance.
“Daripada jumlah tersebut, lapan kes melibatkan 13 tangkapan adalah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak lebih 15 kali.
“Bilangan tangkapan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 51.85 peratus berbanding dengan Jun (27 tangkapan).
“Jumlah tangkapan yang direkod sejak Januari di bawah Seksyen 39B adalah 102 tangkapan,” katanya pada sidang media Laporan bulanan One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Negeri bagi Julai 2021 di Bangunan Baitulmakmur II, semalam.
Tambahnya, sebanyak 120 kes yang melibatkan 156 tangkapan pula adalah kesalahan memiliki dadah dan substance.
“Bilangan tangkapan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 9.83 peratus berbanding dengan Jun (173 tangkapan). Jumlah tangkapan yang direkod sejak Januari bagi tangkapan kes memiliki adalah sebanyak 1,172 tangkapan,” ujarnya.
Jelasnya, bagi kesalahan positif urin di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sebanyak 367 kes yang melibatkan 364 tangkapan telah direkodkan di Sarawak dalam bulan Julai.
“Bilangan tangkapan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan Jun (345 tangkapan).
“Jumlah tangkapan yang direkod sejak Januari bagi tangkapan kes positif urin adalah sebanyak 2,798 tangkapan,” tambahnya.
Sementara itu, di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998), Sarawak merekodkan 62 kes melibatkan 62 tangkapan hasil daripada 32 operasi yang dijalankan oleh AADK Sarawak.
“Bilangan tangkapan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 29.54 peratus berbanding dengan Jun (88 tangkapan).
“Jumlah tangkapan yang direkod sejak Januari bagi tangkapan di bawah akta ini adalah sebanyak 635 tangkapan,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan statistik tangkapan positif urin yang direkodkan di Sarawak, cabaran adalah untuk meningkatkan intervensi rawatan dan pemulihan mereka secara dalam institusi melalui arahan mahkamah atau secara sukarela dalam komuniti agar mereka yang terjebak substance dapat mengekalkan kepulihan dan kefungsian sosial dalam masyarakat.
Oleh NUR AIN OTSMAN