Tanglung warnai malam, mengeratkan keluarga

Facebook
WhatsApp
MERIAH...Orang ramai mengambil kesempatan hadir membawa anak-anak untuk menyaksikan keindahan tanglung, bergambar dan meluangkan masa bersama dalam suasana santai.

MIRI: Cahaya tanglung berwarna-warni menceriakan Dataran Kipas di sini apabila orang ramai daripada pelbagai kaum berkumpul menikmati kemeriahan Festival Kuih Bulan.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati banyak keluarga yang mengambil kesempatan hadir membawa anak-anak untuk menyaksikan keindahan tanglung, bergambar dan meluangkan masa bersama dalam suasana santai.

Kemeriahan sambutan turut menarik masyarakat daripada pelbagai latar belakang yang hadir untuk menikmati suasana perayaan, selain mengenali tradisi dan budaya masyarakat Cina.

Suasana sebegitu memberi peluang kepada keluarga berehat daripada kesibukan harian sambil mencipta kenangan bersama, khususnya anak-anak yang teruja melihat pelbagai bentuk dan warna tanglung.

Festival Kuih Bulan bukan sekadar mengetengahkan tradisi kuih bulan dan tanglung, malah menjadi ruang pertemuan masyarakat untuk berkongsi kemeriahan serta mengeratkan hubungan dalam suasana harmoni.

Oleh Liong Chai Ling