DUA gol dalam setiap babak memastikan kemenangan bergaya Sarawak United FC (SUFC) ke atas Skuad Projek FAM-MSN 4-0 yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, malam semalam.
Keputusan kemenangan itu juga turut memastikan skuad kendalian E Elavarasan menepati ramalan memenangi perlawanan tersebut untuk kembali gah berada di persada Liga Premier, menakala skuad kendalian Yusri Che Lah pula terpaksa akur gagal menyaingi lawan yang lebih berpengalaman.
Sarawak United yang tampil bertenaga dalam misi meraih mata maksimum di laman lawan itu tidak menunggu lama untuk merobek gawang tuan rumah menerusi jaringan import dari Brazil, Sandro Mendoca selepas menerima hantaran daripada S Chanturu pada minit ke-21.
Barisan muda negara yang diketuai oleh Kamal Arif Azrai Shakimar bertindak cemerlang di bahagian pertahanan apabila sering menggagalkan usaha barisan serangan Sarawak United gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Uche Agba yang bertali arus untuk mencipta jaringan besar seperti keputusan pada pusingan pertama Liga Premier lalu, 7-1.
Biarpun tanpa kelibat Lee Chang Hoon di barisan tengah, dua gandingan Mohd Amer Saidin serta Muhd Zahril Azri Zabri mampu melaksanakan tugas mereka mengemudi di barisan tengah dengan penuh berkeyakinan.
Hasilnya, kapten Sarawak United, Taylor Regan mudah menanduk masuk bola hasil hantaran lintang S Chanturu pada minit ke-42 perlawanan dengan menewaskan penjaga gol Skuad Projek FAM-MSN, Muhamad Haziq Mukriz.
Tersentak dengan gol tersebut barisan muda yang dibimbing Yusri Che Lah mencuba sedaya upaya untuk merapatkan jurang gol namun kekentalan pertahanan serta penjaga gawang Sarawak United, Sharbinee Allawee berjaya menafikan segala percubaan mereka dan keputusan 2-0 kekal hingga tamat babak pertama perlawanan.
Bersambung pada babak kedua memperlihatkan tempo permainan yang ditunjukkan Sarawak United agak perlahan dan banyak memberi peluang Skuad Projek FAM-MSN untuk melakukan serangan balas, namun gagal menemui sentuhan gol.
Sepanjang tempoh 40 minit bermain di separuh masa kedua, Sarawak United gagal menemui sentuhan jaringan sehinggalah dua pertukaran dilakukan dengan mengeluarkan Muhd Zahril Azri Zabri dan Norshahrul Idlan Talaha bagi menggantikan Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra dan Nor Azizi Ramlee bagi memperkuatkan serangan.
Hasilnya pada minit ke-84 Muhammad Gopi Rizqi berjaya menjaringkan gol ketiga Sarawak United hasil daripada pergelutan dalam kotak penalti.
Derita Skuad Projek FAM-MSN tidak berakhir di situ apabila pemain gantian Sarawak United Nur Shamie Iszuan menjaringkan gol pada minit ke-89 menerusi rembatan di dalam kotak penalti yang gagal disambut kemas oleh penjaga gol tuan rumah, Muhamad Haziq Mukriz.
Keputusan 4-0 kekal hingga tamat masa kedua perlawanan sekali gus membolehkan Sarawak United FC meraih tiga mata penuh dan terus berada di kedudukan teratas Liga Premier dengan kelebihan dua mata (34 mata) mengatasi pencabar terdekat mereka Negeri Sembilan FC (32 mata).
Sarawak United akan mengesahkan promosi ke Liga Super sekiranya berjaya memenangi dua lagi perlawanan di dalam Liga Premier selepas ini.
Kelab tersebut juga boleh dinobatkan sebagai juara liga sekiranya memenangi tiga daripada empat lagi baki perlawanan yang ada.
Sarawak United pada aksi seterusnya akan berkunjung ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bagi menentang PDRM FC pada 27 Ogos (Jumaat) ini.
Oleh ADI SAFARMAN