KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti mekanisme bagi menggubal undang-undang khusus menangani isu jerebu rentas sempadan, termasuk mengambil kira pendekatan yang dilaksanakan Singapura.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Alam Sekitar NRES Dr G. Pubadi berkata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup baru-baru ini turut mengarahkan penubuhan jawatankuasa khas melibatkan kementerian dan agensi berkaitan bagi meneliti langkah memperkukuh usaha menangani jerebu.
“Kementerian memang meneliti mekanisme yang telah ada di Singapura untuk kita menggubal satu akta yang spesifik untuk menangani isu jerebu. Tapi penggubalan sesuatu akta bukan perkara yang mudah,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Tindakan dan Kerjasama Serantau Tangani Jerebu Merentas Sempadan’ malam tadi.
Pubadi berkata Malaysia turut mengemukakan kertas mengenai Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan pada Mesyuarat ke-27 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG ke-27) dan Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Serantau (MSC) di Bali, Indonesia, baru-baru ini.
Beliau berkata cadangan itu mendapat sokongan lima negara yang menghadiri mesyuarat berkenaan, iaitu Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, dan Timor-Leste.
Perkara itu akan dikaji Sekretariat ASEAN sebelum dibawa ke mesyuarat melibatkan 11 negara di Vietnam pada Disember, dengan Malaysia turut mencadangkan perkongsian data jerebu secara lebih terbuka.
“… data ini kalau dilaksanakan, sepatutnya semua negara boleh berkongsi saja, secara terbuka, transparent (telus) dan itu akan membantu semua negara untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya bagi menangani isu jerebu atau isu pembakaran terbuka,” katanya.
Selain itu, Pubadi berkata Malaysia melihat aspek kemampanan kewangan sebagai elemen penting dalam memperkukuh mekanisme ASEAN supaya rantau itu mempunyai sumber mencukupi, termasuk jentera dan keperluan lain bagi menangani kebakaran serta jerebu rentas sempadan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Rosli Zul berkata JAS menyediakan 68 stesen pengukuran kualiti udara sebagai sistem rasmi, justeru orang ramai disaran merujuk bacaan jabatan berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dengan platform lain yang menggunakan kaedah pengukuran berbeza.
Beliau berkata penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka turut terus diperkukuh kerana adalah antara punca jerebu, dengan hampir 80 peratus aduan yang diterima JAS setiap tahun berkaitan aktiviti berkenaan.
Mengenai keadaan jerebu semasa, Rosli berkata peralihan kepada Monsun Timur Laut yang dijangka pertengahan Oktober berpotensi mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan apabila arah tiupan angin berubah, walaupun kebakaran di Sumatera dan Kalimantan mungkin belum berakhir.
Sehubungan dengan itu, pemantauan akan terus dipertingkat bagi memastikan kebakaran dalam negara tidak menjadi punca jerebu selepas pertengahan Oktober, termasuk menerusi kerjasama ramalan cuaca dan penggunaan imej satelit. – Bernama




