KUCHING: Kelewatan mewujudkan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu Sarawak untuk digunakan pada pilihan raya negeri akan datang menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, mempersoalkan sama ada proses berkenaan boleh dimulakan lebih awal.
Walaupun kecewa dengan petunjuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kawasan pilihan raya baharu itu mungkin tidak dapat disiapkan mengikut tempoh diperlukan, Lo berkata keadaan itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan masih terdapat beberapa proses perlembagaan dan undang-undang yang perlu diselesaikan.
“Berita ini tidak mengejutkan saya, walaupun ia sememangnya mengecewakan,” katanya.
Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan pertambahan kerusi daripada 82 kepada 99 pada 7 Julai 2025, manakala Ordinan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 mula berkuat kuasa pada 8 Ogos 2025.
Lo berkata persoalan utama kini bukan sekadar mengenai pihak yang perlu dipersalahkan, tetapi mengapa proses persempadanan semula tidak dimulakan lebih awal.
“Pada pandangan saya, persoalan yang lebih penting ialah: adakah keadaan ini boleh dielakkan sekiranya proses tersebut dimulakan lebih awal?” katanya.

Beliau berkata proses persempadanan semula merupakan urusan perlembagaan yang panjang, melibatkan cadangan sempadan, pameran awam, bantahan dan representasi, siasatan jika diperlukan, kemungkinan pindaan serta prosedur lanjut di peringkat Persekutuan.
“Apabila sesuatu proses melibatkan banyak peringkat perlembagaan, setiap bulan amat penting. Kelewatan pada peringkat awal sudah tentu memberi tekanan lebih besar kepada jadual pada peringkat akhir,” katanya.
Lo berkata Sarawak telah menyatakan pendiriannya dengan jelas melalui kelulusan pertambahan kerusi berkenaan, yang menurutnya mencerminkan keluasan geografi negeri, taburan penduduk serta keperluan terhadap perwakilan yang berkesan.
“Bagi Sarawak, perwakilan bukan sekadar soal mewujudkan kawasan pilihan raya tambahan. Ia berkaitan dengan sama ada Sarawak mempunyai suara yang berkesan dan bermakna dalam Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan medan saling menyalahkan, termasuk terhadap SPR.
“Daripada hanya bertanya sama ada SPR perlu dipersalahkan, kita seharusnya bertanya mengapa keseluruhan proses itu tidak dimulakan lebih awal,” katanya.
Menurut Lo, perkara lebih besar ialah memastikan kedudukan perlembagaan dan hak perwakilan Sarawak diberikan perhatian sewajarnya.
“Sarawak tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya meminta komitmen, perlindungan dan prinsip yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 serta pembentukan Malaysia dihormati dari segi semangat dan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata perwakilan yang adil dan penghormatan terhadap perlembagaan kekal penting bagi memastikan suara Sarawak terus diiktiraf dengan sewajarnya dalam Malaysia.
Oleh Connie Chieng




