JOHOR BAHRU: Empat remaja dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan dan pemalsuan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan surat akuan majikan bagi tujuan merentas negeri ditahan di sekitar bandar raya ini, 5 Ogos lepas.
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua lelaki dan dua wanita berusia 16 hingga 19 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor dibantu JSJK Bukit Aman, sekitar pukul 8.30 malam sehingga 10.30 malam.
Katanya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak Mac tahun ini dan dianggarkan sebanyak 250 dokumen palsu telah dijual ke seluruh Semenanjung Malaysia dengan keuntungan sebanyak RM37,500.
“Modus operandi mereka adalah dengan mengiklankan perkhidmatan di media sosial termasuk Instagram, Facebook dan WeChat dengan menjual surat itu pada harga RM150. Empat individu ini menerima komisen sebanyak RM50 hingga RM100 setiap seorang bagi setiap dokumen yang dijual,” katanya, pada sidang media, di sini semalam.
Beliau berkata, sindiket itu juga pada masa sama didapati menggunakan kod respons pantas atau Kod QR yang boleh diimbas di surat palsu berkenaan yang sekali gus menyukarkan pihak polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengesan.
“Namun kami dapati bahawa penama yang membawa surat ini di SJR adalah bukan pekerja syarikat seperti yang tertera di surat palsu itu. Mungkin ada penglibatan orang dalam jadi kami akan siasat,” katanya, sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — Bernama