IPU Bintulu catat 170, kualiti udara tidak sihat

Facebook
WhatsApp
KEADAAN sekitar pusat bandar Bintulu kelihatan berjerebu susulan kualiti udara yang berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 170 setakat 7.00 pagi ini.

BINTULU: Kualiti udara di sekitar pusat bandar Bintulu berada pada tahap tidak sihat pagi ini dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 170 setakat 7.00 pagi ini.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan berkenaan berada dalam julat 101 hingga 200, yang dikategorikan sebagai tidak sihat.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak di sekitar pusat bandar Bintulu pagi ini turut mendapati keadaan udara berjerebu, dengan jarak penglihatan kelihatan terjejas di beberapa lokasi.

Bacaan IPU Bintulu juga menunjukkan keadaan tidak sihat berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada kesihatan, terutama golongan yang sensitif terhadap pencemaran udara.

Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, khususnya aktiviti yang memerlukan tenaga tinggi, serta mendapatkan maklumat terkini mengenai status kualiti udara daripada pihak berkuasa.

Oleh Carolyne Utih