KUCHING: Tidak ada ‘baby boom’ (kelahiran besar-besaran) seperti yang dijangkakan susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Menteri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, statistik pendaftaran kelahiran pada 2020 menunjukan penurunan sebanyak 8.2 peratus iaitu 2,788 berbanding 2019.
“Kelahiran keseluruhan dari 2019 ialah 36,117 daripada jumlah tersebut kelahiran anak Sarawak warganegara Malaysia yang mempunyai taraf pemastautin huruf “K” berbanding jumlah kelahiran di Sarawak adalah sebanyak 33,304 atau 92.2 peratus pada 2019.
“Pandemik Covid-19 ini bermula pada Mac 2019. Jika kita lihat dari statistik kelahiran pada 2020, jumlah kelahiran tidak meningkat, tetapi ia menurun iaitu sebanyak 33,964 jika dibandingkan pada 2019.
“Untuk tahun ini sehingga Julai lalu, jumlah kelahiran yang didaftarkan ialah 14,393,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Pertemuan Bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga (LPPKN) Sarawak di Bangunan Baitul Makmur 2, di sini, semalam.
Fatimah berkata, bagi tempoh Mac 2020 hingga April 2021, semasa PKP, Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak melaporkan 178 kematian akibat jangkitan Covid-19, bersamaan dengan 1.2 peratus dari jumlah kematian yang didaftarkan di JPN Sarawak.
“Statistik kematian yang didaftarkan di JPN menunjukkan peningkatan sebanyak 14,518 atau 1.02 peratus pada 2020 berbanding 14,371 pada 2019.
“Sehingga April lalu, sebanyak 3,297 kematian didaftarkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa JPN Sarawak sedia memberi bantuan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang dan perlembagaan sedia ada.
“JPN Sarawak sentiasa memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman melalui pasukan MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) yang ditubuhkan pada 2019 mempunyai 6 Unit iaitu di Kuching, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kapit dan Miri,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO