KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi naik 15 sen seliter bagi tempoh 24 September hingga 30 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5.05 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.57, dan diesel tanpa subsidi RM5.42 seliter.
Menurut kenyataan itu, kekangan bekalan produk petroleum bertapis terus mengekalkan harga pasaran pada paras tinggi.
“Gangguan terhadap pengeluaran produk petroleum bertapis di Rusia, antara pengeksport diesel terbesar dunia, terus mengeruhkan keadaan.
“Eksport diesel dari Asia Barat pula telah merosot lebih 50 peratus dari Mac hingga Ogos 2026,” menurut kenyataan MOF.
MOF memaklumkan pemulihan kapasiti penapisan global adalah penting bagi penyederhanaan harga produk petroleum, manakala pemulihan aliran petroleum melalui Selat Hormuz boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis.
Bagaimanapun, menurut kementerian itu, ketidaktentuan geopolitik dunia dijangka terus mempengaruhi turun naik harga produk petroleum dalam jangka sederhana, di samping risiko konflik yang meningkatkan kos penghantaran minyak dengan ketara.
“Kadar sewaan kapal tangki super bagi beberapa laluan dari Asia Barat telah mencecah paras rekod kira-kira AS$1 juta sehari susulan gangguan perkapalan,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI, BUDI Diesel, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kementerian itu menjelaskan bahawa bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, namun rakyat diminta agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, melakukan perancangan perjalanan cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.- Bernama




