RM200,000 naik taraf jalan Tanah Perkuburan Kampung Nyabor

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir menghadiri Majlis Serahan Tapak Projek RTP di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyabor, hari ini. Foto ADUN Kabong

KABONG: Projek menaik taraf jalan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyabor bernilai RM200,000 bakal meningkatkan akses serta keselesaan penduduk setempat, khususnya bagi urusan pengurusan serta ziarah tanah perkuburan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan melibatkan penyerahan tapak kepada kontraktor yang dilantik.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan oleh Darfrazil Enterprise, dengan kerja-kerja bermula pada 14 September lalu dan dijadualkan siap pada 9 Januari 2027.

“Pelaksanaan projek ini amat penting dalam meningkatkan kemudahan serta akses jalan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyabor, sekali gus memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk dalam urusan pengurusan serta ziarah tanah perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serahan Tapak Projek RTP di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyabor, hari ini.

Chee Kadir dalam pada itu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas kelulusan peruntukan bagi merealisasikan projek berkenaan.

Katanya, kelulusan tersebut membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan dan menaik taraf kemudahan asas yang diperlukan masyarakat, termasuk akses jalan ke kawasan tanah perkuburan.

Beliau berkata, projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Nyabor dan kawasan sekitarnya menerusi penyediaan laluan yang lebih baik, selamat dan selesa untuk kegunaan masyarakat.

Pada masa sama, beliau berharap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Darfrazil Enterprise dapat berjalan lancar dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Turut hadir wakil Pejabat Daerah Kabong, Ahmad Sabree dan Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong, Fatin Adibah Massmail.

Oleh Adi Safarman