NYALAU, Bintulu: Pertemuan keluarga daripada keturunan Inche Darat yang mempunyai pertalian darah di Brunei dan Sarawak menerusi program “Jejak Warisan Menyatukan Keturunan” menjadi detik bersejarah apabila saudara-mara daripada kedua-dua wilayah dapat bertemu semula, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan yang diwarisi sejak generasi terdahulu.
Menurut Junit Mohamad, 60-an, dari Penanjung, Brunei, warisan bukan sekadar kisah yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipelihara dan diteruskan oleh generasi hari ini.
Katanya, pertemuan seperti itu penting bagi memberi peluang kepada anak-anak dan cucu-cucu mengenali saudara-mara serta memahami asal-usul keluarga mereka.
“Cucu-cucu kita dapat mengenali asal-usul mereka dan generasi yang akan datang tidak akan lagi bertanya dari manakah asal keluarga kita kerana jawapannya telah kita tanamkan dalam hati mereka,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh ahli keluarga, khususnya dari Penanjung, Brunei dan Nyalau, Bintulu, supaya menjadikan pertemuan itu sebagai ruang untuk saling mengenali, menghargai dan mengeratkan silaturahim tanpa mengira perbezaan.
Menurutnya, keluarga merupakan satu amanah yang perlu dipelihara, selain pentingnya membuka ruang untuk saling memaafkan dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berusaha menjayakan perhimpunan bersejarah itu dan menyifatkannya sebagai permulaan kepada lebih banyak pertemuan pada masa akan datang.
“Semoga hubungan kita bukan hanya tinggal dalam gambar dan kenangan, tetapi terus hidup melalui kunjungan, komunikasi, kasih sayang dan silaturahim yang berpanjangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pertemuan berkenaan menjadi detik bersejarah yang dapat diceritakan kepada generasi akan datang.
Katanya, generasi yang belum lahir suatu hari nanti akan mengetahui bahawa keluarga mereka pernah berkumpul untuk menyatukan keturunan serta meneruskan legasi generasi terdahulu.
“Semoga pertemuan ini diberkati Allah SWT. Kita akan abadikan pertemuan ini sebagai satu detik bersejarah dalam perjalanan keturunan Inche Darat dan menjadi kenangan yang akan kita simpan di dalam hati untuk selama-lamanya,” katanya.
Oleh Adum Liu




